
Laporan/foto: Nor Emylia Lot (Kuala Nerus)
KUALA NERUS, 4 Okt (Malaysiaaktif) – Penganjuran Program Demokrasi Kita @ Kelab Malaysiaku adalah aktiviti patriotisme serta kempen kenegaraan yang melibatkan pelajar sekolah dalam memupuk semangat cintakan negara.
“Nilai-nilai kenegaraan dengan pendekatan lebih santai dalam memupuk semangat patriotisme dan kecintaan kepada negara perlu diberi perhatian yang khusus.
“Ini kerana golongan muda pada masa ini lebih banyak menggunakan media sosial berbanding media konvensional,” katanya.
Pengerusi Ahli Majlis Mesyuarat Pembangunan Insan dan Latihan Kelab Pengurusan Kaunseling (PEKA), Universiti Terengganu Malaysia (UMT) Mohammad Danial Asyraf Yusof, berkata demikian ketika menyampaikan taklimat berkaitan Rukun Negara di Dewan Utama Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud (SESMA), di sini semalam.
Katanya, melalui program ini pendedahan dan pemahaman kepada generasi muda dapat disemai di peringkat sekolah dalam memahami prinsip-prinsip demokrasi dan kepentingan sosialisasi politik.
Seorang peserta program Nurul Irdina Ibtisam Kamaruddin, 16, berkata program tersebut perlu dilaksanakan dengan lebih kerap.
“Ia sangat memberi kesan kepada golongan remaja bagi pengisian jiwa dan semangat patriotisme yang tinggi,” katanya.
Program Demokrasi Kita @ Kelab Malaysiaku anjuran Jabatan Penerangan melibatkan sekolah menengah terpilih dan membuka peluang para pelajar untuk mengenali serta memahami sistem demokrasi di Malaysia.
-ZS-