
Laporan/foto: Mohamad Amiruddin Adli Ishak/Mohd Shuhaimi Ahmad (Terengganu)
KUALA TERENGGANU, 5 Okt (Malaysiaaktif) – Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan merasmikan acara melabuh tukun tiruan di pesisiran Pantai Batu Buruk, di sini pagi tadi.
Kerajaan Negeri Terengganu telah mengenal pasti tiga lokasi untuk dijadikan tapak tukun tiruan iaitu Batu Buruk, Batu Rakit dan Rhu Sepuloh.
“Program melabuh tukun tiruan bertujuan meningkatkan produktiviti biologi dan sumber perikanan di kawasan persisiran pantai selain menyediakan kawasan pembiakan dan nurseri untuk ikan dan hidupan marin lain.
“Ia juga bertujuan memulih dan melindungi habitat marin yang musnah akibat aktiviti perikanan dan bencana alam. Melalui program ini, akitiviti bot pukat tunda dapat dikurangkan daripada menghampiri kawasan nelayan tradisi,” ujar Menteri Besar Terengganu Datuk Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Kerajaan Negeri akan melabuhkan sebanyak 41 unit tukun tiruan kuboid penghalang pukat tunda juvenil (rekreasi) di tiga lokasi terbabit.
Peruntukan sebanyak RM1 juta telah disalurkan bagi tujuan penambahan tukun tiruan pada tahun ini.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Terengganu Dr Azman Ibrahim.
-ZS-