Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanLabuan

Warga Labuan Bersyukur Beli Beras Import pada Harga Rahmah

By 2 Oktober 2023Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian (Labuan)

LABUAN, 2 Okt (Malaysiaaktif) – Warga Labuan yang ditemui menzahirkan rasa syukur kerana berpeluang membeli beras import dengan harga yang lebih rendah dalam Program Jualan Rahmah (PJR).

Selmah Jumaan, 53, mengucapkan terima kasih kepada pihak peniaga yang menyertai program itu kerana memberi peluang kepada warga Labuan mendapatkan pelbagai barangan keperluan terutama beras pada harga yang lebih rendah.

“Terima kasih kepada pihak yang menyertai PJR kerana kami dapat menjimatkan perbelanjaan lebih-lebih lagi saya sebagai peniaga kecil yang menghadapi pelbagai cabaran seperti peningkatan kos bahan mentah seperti beras.

“Harga barangan pada PJR memang memuaskan dan membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat Labuan,” katanya semasa ditemui media pada program itu di sebuah pasar raya, di sini semalam.

Bagi Awang Damit Putih, 72, beliau berharap warga Labuan tidak melepaskan peluang untuk membeli barangan keperluan semasa PJR berlangsung.

“Saya menyeru orang-orang Labuan untuk membeli pelbagai barangan keperluan seperti beras, telur ayam dan gula di pasar raya yang menyertai program ini.

“Saya juga berharap program ini dapat diteruskan dengan lebih kerap bagi membantu masyarakat khasnya bagi yang kurang berkemampuan,” katanya.

Nur Syafiraa Abu, 22, turut mengucapkan terima kasih kepada pihak kerajaan yang mengambil inisiatif menyenaraikan beras import sebagai salah satu barangan yang dijual dalam PJR.

“Saya ucapkan terima kasih kepada kerajaan Madani kerana menganjurkan PJR lebih–lebih lagi ketika kenaikan harga beras import dan ini membantu mengurangkan perbelanjaan isi rumah kami.

“Saya harap lebih banyak peniaga yang akan menyertai program ini untuk membantu meringankan beban rakyat di pulau ini,” katanya.

-ZS-

Tinggalkan komen anda