Skip to main content
MA

Anak Muda Perlu Celik Kewangan Agar ‘Sihat Kewangan’

By 22 November 2023Tiada komen2 minit bacaan
Celik Maslan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Hisham Salleh/AKPK & Lensa Digital Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 22 Nov (MalaysiaAktif) – Mata pelajaran khusus berkaitan kewangan dan keusahawanan perlu diperkenalkan dan diberi keutamaan di bangku persekolahan agar dapat memastikan generasi muda celik kewangan.

Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata, saranan tersebut adalah berdasarkan dapatan kajian yang dilaksanakan oleh Bank Negara Malaysia, dan badan antarabangsa iaitu Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan, yang menyebut bahawa 1/3 daripada rakyat Malaysia menganggap diri mereka mempunyai tahap pengetahuan kewangan yang rendah.

“Kajian tersebut juga menyebut 1/10 rakyat Malaysia tiada disiplin dalam menguruskan kewangan, dan 1/5 daripada pekerja dewasa tempatan tidak menyimpan wang dalam tempoh 6 bulan sebelumnya,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan pengetahuan berkenaan ilmu kewangan serta keusahawan sangat kritikal dalam usaha menjadikan generasi muda ‘sihat kewangan’.

“Saya amat mengalu-alukan lebih banyak kerjasama di antara kementerian, agensi berkaitan, dan sektor swasta, dalam meningkatkan tahap literasi kewangan generasi muda masa kini,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian program Kembara Bijak Wang 2023 (KBW2023), anjuran Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) dan HSBC Malaysia, yang berlangsung di Kuala Lumpur, semalam.

Dalam masa yang sama, Ketua Eksekutif AKPK, Azaddin Ngah Tasir, berkata, program Kembara Bijak Wang juga memupuk kesedaran ke arah mencapai kesejahteraan holistik dalam kalangan belia.

“Pembelajaran tersebut merangkumi kesemua 7 elemen kesejahteraan, iaitu: emosi dan rohani, kewangan, sosial, alam sekitar, fizikal, kerjaya, dan intelek,” jelasnya

Manakala, Ketua Pegawai Eksekutif HSBC Amanah Malaysia, Raja Amir Shah Raja Azwa, berkata, program sebegini mampu membantu generasi muda memahami pelbagai kemahiran kewangan secara berkesan terutamanya pengurusan kewangan peribadi, pengurusan kredit, dan pelaburan.

“Kami berbangga menjadi sebahagian daripada objektif murni ini dalam menyediakan masa depan setiap anak muda di Malaysia agar mencapai celik kewangan.” tambahnya.

Program KBW2023 yang dianjurkan buat kali keempat sejak 2019, bertujuan meningkatkan literasi kewangan menggunakan pendekatan digital, dan menawarkan aktiviti mencabar serta pengalaman yang menyeronokkan.

-HS-

Tinggalkan komen anda