
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)/PSA
KLANG, 5 Nov (Malaysiaaktif) – Sekumpulan pelajar Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) mengambil inisiatif membina laluan orang kurang upaya (OKU) bagi keperluan murid berkeperluan khas di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Abdul Samad, di sini.
Menurut Timbalan Pengarah Akademik PSA Ts. Dr. Ahmad Aftas Azman, projek ‘generate the great generation’ itu dilaksanakan secara tanggungjawab sosial korporat (CSR).
“Projek tersebut mengambil masa kira-kira dua minggu untuk disiapkan membabitkan pelajar Jabatan Kejuruteraan Mekanikal dan Jabatan Kejuruteraan Awam serta pelajar berkeperluan khas yang mengikuti pengajian di PSA.
“Projek ini memberi peluang kepada para pelajar mengaplikasi ilmu dan kemahiran yang dipelajari terutamanya dalam mereka bentuk dan memfabrikasi laluan bagi kegunaan golongan OKU,” ujarnya ketika ditemui pada Jumaat.
Sementara itu, Pengetua SMK Sultan Abdul Samad, Roslina Abdullah Sani, berkata ini adalah projek pertama kali diadakan sejak Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) dilaksanakan di sekolah itu pada tahun 1978.
“Murid-murid PPKI terutamanya mendapat manfaat hasil usaha pelajar PSA menyediakan penutup longkang di laluan berhampiran taman mini PPKI.
“Murid-murid ini mempunyai pelbagai masalah fizikal yang menyukarkan mobiliti mereka serta memerlukan kerusi roda,” jelasnya.
-ZS-