Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Selangor Tunai Janji 100 Hari Pertama – Amirudin

By 5 November 2023Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

BATU CAVES, 5 Nov (Malaysiaaktif) – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari memaklumkan pihaknya berjaya menunaikan lima perkara yang dijanjikan akan dilaksanakan dalam masa 100 hari pertama pentadbiran kerajaan perpaduan Selangor.

Menurut beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua, empat daripada janji tersebut adalah pengecualian cukai pintu rumah kampung dan rumah kos rendah.

“Menaikkan elaun imam, bilal dan siak; insentif pertanian dan perikanan berjumlah RM1,000 kepada 500 petani, pesawah dan nelayan serta pemberian RM1,000 kepada 5,000 wanita bagi mengurangkan kos penjagaan anak-anak.

“Kelima adalah baucar buku ‘Kita Selangor’ bernilai RM200 kepada mahasiswa Selangor yang akan dilaksanakan minggu hadapan,” jelasnya.

Amirudin, berkata semua janji dalam tempoh 100 hari pertama telah ditunaikan yang akan menjadi tekad untuk beliau meneruskan beberapa perkara yang akan diumumkan nanti.

Mengulas mengenai belanjawan negeri yang akan dibentangkan pada 10 November ini Amirudin, berkata beberapa berita baik untuk rakyat Selangor akan diumumkan.

“Antaranya fokus mengembangkan industri tertentu, menambah insentif kepada mereka yang melanjutkan pelajaran dan yang berkaitan pengembangan agama Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan program Jelajah Madani Bersama Menteri Sumber Manusia di Balai Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Melayu Wira Damai, di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar dan Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan Selangor V. Papparaidu.

-ZS-

Tinggalkan komen anda