
Laporan/foto: Siti Zuraida MD Nor Aidi/Muhd Hafizi Zainal
JEMPOL, 22 Dis (Malaysiaaktif) – Penantian selama 40 tahun peserta FELCRA Rompin B, Mukim Rompin, di sini berakhir apabila sebanyak 99 hak milik tanah telah diserahkan kepada peserta dalam majlis Penyerahan Hakmilik yang diadakan di Pejabat Daerah dan Tanah Jempol (PDTJL), kelmarin.
Menurut Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun, pihak kerajaan negeri telah memberikan kelulusan membuka dan memajukan kawasan FELCRA Rompin B pada tahun 1973 untuk tanaman jangka masa panjang getah dan kawasan rancangan ini telah diusahakan dan mula mengeluarkan hasil pada tahun 1986.
“Walau bagaimanapun, atas sebab beberapa isu teknikal tanah yang perlu diselesaikan, proses pemberi milikan tanah kepada peneroka telah mengambil masa yang agak lama,” katanya.
Menurutnya lagi, atas tekad dan niat yang baik dalam membantu dan menjaga kebajikan rakyat, usaha yang lebih gigih telah dibuat dan kerajaan negeri.
“Terima kasih atas bantuan yang diberikan oleh semua pihak dan agensi kerajaan yang terlibat dalam urusan penyediaan hak milik ini.
“Antaranya Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri, Pejabat Daerah dan Tanah Jempol, Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) Negeri Sembilan, Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA) ibu pejabat dan Wilayah Tengah sebagai agensi utama pembangunan tanah rancangan,” katanya.
Aminuddin turut berharap adar tanah tersebut dapat diusahakan dengan baik dan memberi manfaat kepada semua peneroka dan ahli keluarga mereka.
“Di samping itu, diingatkan juga kepada semua peneroka supaya dapat melaksanakan tanggungjawab sebagai pemilik tanah dengan membayar cukai tahunan sebelum 31 Mei setiap tahun,” katanya.
Salah seorang peserta K.Rajasagaran, 64, berkata hari ini merupakan hari yang cukup bermakna buat kami setelah lebih kurang 41 tahun akhirnya hak milik telah dapat kami perolehi.
“Jadi tiada lagi rasa gundah gulana dan bolehlah kami memikirkan dan merancang dengan hati yang tenang untuk memajukan tanah kami selepas in,” katanya.
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan Datuk Mohd Zafir Ibrahim, barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, barisan Ahli Dewan Undangan Negeri Negeri Sembilan dan ketua-ketua jabatan persekutuan dan negeri.
-ZS-