
Laporan/foto: Lizza Imelia M. Sulanah (Larut Matang dan Selama)/UniKL RCMP
TAIPING, 29 Jan (Malaysiaaktif) – Universiti Kuala Lumpur Royal College of Medicine Perak (UniKL RCMP) telah memilih Zoo Taiping & Night Safari bagi melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR), di sini pada Sabtu.
Program ‘Zoo Guardians’ yang disertai 53 pelajar perubatan itu ditaja oleh Key Field Offshore Sdn Bhd dengan diketuai Rili Andika Alzamaniq Warijan di bawah seliaan Pensyarah Unit Pengajian Am, Ahmad Shahir Mohd Sahran.
RCMP dalam satu kenyataan, berkata agenda utama program berkenaan adalah aktiviti pembersihan yang memerlukan peserta membersihkan lima lokasi berbeza.
“Aktiviti ini juga bertujuan mempraktikkan konsep 3R iaitu Reuse, Reduce and Recycle dalam kalangan peserta semasa membersihkan kawasan zoo.
“Program bermula seawal pukul 9.00 pagi dengan taklimat ringkas oleh wakil zoo dan diikuti pembahagian kumpulan. Hampir 35 beg sampah terdiri daripada daun kering, tisu, botol plastik, tin dan pelbagai lagi sampah berjaya dikutip sepanjang program dijalankan,” menurut kenyataan tersebut.
Turut berlangsung, permainan berkonsepkan 3R dan kuiz interaktif bagi meluaskan pengetahuan tentang haiwan dan meningkatkan kerja berpasukan dalam kalangan peserta.
-ZS-