
Laporan/foto: Zuriatina Tamat/KEMAS Daerah Kluang
KLUANG, 29 Jan (Malaysiaaktif) – Pelajar-pelajar berumur enam tahun daripada lebih 10 buah Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) diraikan dalam Majlis Apresiasi TABIKA dan Majlis Konvokesyen Iqra dan Fardhu Ain (Iqfa) sesi 2023/2024 anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Parlimen Kluang bertempat di Dewan Raya Kampug Melayu, di sini semalam.
Penolong Pengarah Unit Sumber Manusia dan Pentadbiran Kemas Negeri Johor Rohasniza Abu Bakar, berkata Kemas Johor telah bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Johor bagi menempatkan tenaga pengajar Iqfa di institusi Tabika terpilih untuk pemantapan fardhu ain pelajar dan pemantapan pembacaan dan hafazan surah-surah lazim.
“Kemas tidak ketinggalan dalam menyediakan pembelajaran awal anak-anak dan telah menerima anugerah kualiti pendidikan awal kanak-kanak pilihan ibu bapa daripada Reader’s Digest pada tahun 2017, 2020, 2022 dan 2023,” katanya.
Menurut salah seorang tenaga pengajar Iqfa di Tabika Kemas Hidayah Kampung Tengah, Kluang Rasidah Tairi, beliau telah bertugas di tabika tersebut sejak lima tahun lalu dan mengajar fardhu ain pada setiap sesi pembelajaran.
“Kelas Iqfa yang kami laksanakan melibatkan pemantapan fardhu ain seperti cara solat, bacaan solat dan hafazan surah-surah lazim sehingga surah terpanjang seperti surah Na’ba dan kami harapkan Tabika Kemas dapat melahirkan Huffaz Cilik pada masa akan datang,” katanya.
Kemas Parlimen Kluang juga turut meraikan tenaga-tenaga pengajar Iqfa Parlimen Kluang dalam majlis apresiasi pagi tadi.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Mahkota Datuk Sharifah Azizah Datuk Syed Zain dan Penolong Pegawai Pendidikan Awal Kanak-kanak Kemas Parlimen Kluang Rodilah Din.
-ZS-