
Laporan/foto: Muhammad Danial Zakwan (Johor Bahru)
JOHOR BAHRU, 29 Jan (Malaysiaaktif) – Bangunan baru Klinik Demam yang telah siap dibina di Klinik Kesihatan Gelang Patah, di sini diharap dapat meningkatkan penyediaan perkhidmatan kesihatan yang lebih berkualiti, mampan, saksama dan mampu milik kepada penduduk setempat.
Ahli Parlimen Iskandar Puteri Liew Chin Tong, berkata bagi memperkukuhkan kesiapsiagaan terhadap kecemasan kesihatan awam, ketersediaan fasiliti dekontaminasi dan isolasi di Klinik Kesihatan perlu ditambah baik bagi meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan.
“Saya dimaklumkan di mana pelanggan yang ingin masuk ke Klinik Kesihatan yang mempunyai gejala seperti batuk, selesema, sakit tekak, masalah pernafasan, mempunyai suhu melebihi 37.5 celcius atau bergejala akan diasingkan ke Klinik Demam baru yang terletak di luar bangunan utama.
“Diharap penularan penyakit berjangkit seperti COVID-19 dapat dikawal dengan baik melalui pengasingan pesakit ini daripada menjangkiti pesakit yang lain,” ujarnya ketika ditemui selepas majlis perasmian Klinik Demam Klinik Kesihatan Gelang Patah, di sini semalam.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor Ling Tian Soon, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar Datuk Pandak Ahmad, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Johor Dr. Haji Mohtar Punggut @ Haji Ahmad dan Ketua Kampung Melayu Gelang Patah Rahizam Rahmat.
-ZS-