Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahKuala Lumpur

Konsep Program Jualan Termurah Menjadi Tumpuan Orang Ramai

By 6 Januari 2024Januari 10th, 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Rajeswari Anbazagan (Kuala Lumpur)

KUALA LUMPUR, 6 Jan (Malaysiaaktif) – Warga PPR Kerinchi tidak melepaskan peluang mendapatkan barangan keperluan terutama barang basah sempena program Jualan Termurah, Khidmat Demi Rakyat yang berlangsung di Tapak Parkir PPR Kerinchi.

Pelbagai barangan keperluan dijual pada harga lebih rendah berbanding harga pasaran. Antaranya beras 5 kilogram dijual pada harga RM16.50, ikan siakap RM7 seekor, ikan cencaru tiga ekor RM1 dan ayam segar RM8.50 sekilogram.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil merangkap Ahli Parlimen Lembah Pantai turut membuat tinjauan dan beliau yakin program tersebut boleh diadakan secara strategik yang menawarkan barang keperluan dan segar pada harga 30 hingga 50 peratus lebih rendah.

“Ini ialah untuk percubaan dan pembuktian konsep yang saya akan panjangkan dan cadangkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagaimana untuk kita laksanakan di kawasan Parlimen lain terutamanya dalam mengawal kos harga barang dan membantu kurangkan kos sara hidup,” demikian katanya selepas meninjau Program Jualan Termurah, Berkhidmat Untuk Rakyat di kawasan Program Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi anjuran Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lembah Pantai.

Menurut beliau lagi konsep program seperti ini juga berupaya menjadi nilai tambah kepada Program Jualan Rahmah (PJR) anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) pada masa akan datang.

“Melalui program seperti ini juga, kita boleh lihat kos rantaian bekalan dapat dikawal bagi memastikan manfaatnya terus dinikmati rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, Fahmi berkata dalam memaksimumkan kehadiran dan komuniti yang mendapat manfaat daripada program ini, pemilihan lokasi sangat penting.

“Macam kawasan ini kita ada beberapa PPR, flat kos rendah dan kuarters kerajaan, jadi dia memang kawasan tumpuan dan lokasi yang strategik untuk diadakan program seperti ini, agar lebih ramai yang akan dapat manfaatnya,” ujarnya.

Pengunjung yang ditemui juga sangat bersyukur untuk mendapatkan barangan basah pada program hari ini, memandangkan ia merupakan pertama kali diadakan di kawasan perumahannya dan mereka juga mohon program seperti ini diperluaskan lagi di seluruh tempat bagi meringankan bebanan golongan tertentu.

-ZS-

Tinggalkan komen anda