
Laporan/foto: Mohd Sukri Ibrahim/Pejabat Daerah dan Tanah Kemaman
KEMAMAN, 23 Jan (Malaysiaaktif) – Penganjuran Majlis Tilawah Al-Quran bukan sekadar mendengar alunan ayat-ayat suci al-Quran tetapi perlu mengambil perhatian pada setiap bait ayat berserta terjemahannya untuk dijadikan sebagai panduan dan kompas serta petunjuk dalam pelbagai bidang kehidupan seharian.
Pegawai Daerah Kemaman Ahmad Farhan Abdul Wahab berkata demikian di Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Daerah Kemaman 1445H/2024M di Masjid Tengku Mizan Zainal Abidin, Kerteh, di sini kelmarin.
“Seterusnya, pada malam ini marilah kita bersama-sama mengangkat martabat dan menghayati alunan ayat-ayat suci al-Quran yang diperdengarkan oleh qari dan qariah agar kita semua digolongkan dalam kalangan hamba-Nya yang mendapat kemenangan di akhirat kelak,” katanya.
Acara tahunan yang sentiasa menjadi tumpuan masyarakat setiap tahun pada kali ini bertemakan ‘Perpaduan Teras Malaysia Madani’ turut disertai empat qari dan empat qariah.
Johan qari Mohd Zaky Ismail dan qariah Afzam Mustaffa akan mewakili daerah Kemaman di Majlis Tilawah Peringkat Negeri Terengganu yang akan diadakan pada hujung bulan Februari ini.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Kijal Datuk Razali Idris merasmikan majlis.
-ZS-