
Laporan/foto: Zaidy Salim/JAPEN
PUTRAJAYA, 10 Jan (MalaysiaAktif) – Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, menyatakan kerajaan akan mengumumkan peralihan daripada satu rangkaian borong kepada dwirangkaian dalam tempoh sebulan, susulan negara kini sudah mencapai liputan kawasan berpenduduk (CoPA) 5G lebih 80 peratus.
Pengumuman tersebut akan dibuat selepas Jemaah Menteri menerima laporan daripada Pasukan Petugas Khas Pelaksanaan 5G yang akan bermesyuarat Jumaat ini.
“Berkenaan 5G, saya sudah memaklumkan kepada Jemaah Menteri hari ini, setakat 31 Disember 2023 masuk ke 1 Januari 2024, pelaksanaan 5G sudah mencapai 80.2 peratus CoPA.
“Bermaksud kita sudah capai sasaran yang ditetapkan oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) sewaktu pembentangan belanjawan pada Februari tahun lalu, iaitu mencapai 80 peratus CoPA menjelang hujung 2023,” katanya pada sidang media di kementeriannya, hari ini.
Fahmi berkata, jika dwirangkaian sudah dilaksanakan, rangkaian kedua sudah boleh diwujudkan, namun perlu mematuhi syarat serta perkara dipersetujui pasukan petugas khas.
Bagaimanapun, beliau berkata, proses terbabit masih mengambil masa yang lama.
“Walau apapun, saya sebagai Menteri Komunikasi berbangga dengan usaha Digital Nasional Berhad (DNB) terutama dalam bulan-bulan terakhir.
“Sekiranya kita ingat kembali, setakat 31 November 2023, CoPA seluruh negara pada kadar 76 peratus,” jelasnya.
-ZS-