
Laporan/foto: Radiah Rahim/Sh. Nurrul (Pahang)
KUANTAN, 31 Jan (Malaysiaaktif) – Rakyat Pahang melahirkan rasa teruja dan gembira menyambut keberangkatan balik Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri, di sini semalam.
Muhd Romzie Ramli, 35, berkata beliau rasa teruja kerana Agong yang disayangi rakyat Malaysia kini berangkat balik ke Pahang semula.
“Saya rasa bersyukur juga dapat tugasan berkawal di Dewan Jubli Perak ini di samping dapat menyambut kepulangan Baginda Tuanku berdua,” ujarnya yang bertugas sebagai kakitangan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).
Guru Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ahmad Pekan Rozita Mansor, 44, bersama 80 orang pelajarnya melahirkan rasa gembira kerana Agong dan Raja Permaisuri telah berangkat balik ke Pahang.
“Hari ini (Selasa) pelajar yang mengikut adalah dari Badan Pengawas dan Unit Ko-kurikulum Pandu Puteri dan Pengakap.
“Mereka semua amat teruja untuk menyambut kepulangan Tuanku Agong dan Raja Permaisuri Agong,” ujarnya lagi.
Istiadat Keberangkatan Balik Sempena Tamat Pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-16 bermula di Pengkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan berakhir di Dewan Jubli Perak.
-ZS-