
Laporan/foto: Radiah Rahim/Sh. Nurrul
KUANTAN, 11 Feb (Malaysiaaktif) – Maklumat dan data peribadi orang ramai di Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) dijamin selamat.
Ketua Pengarah Perangkawan Datuk Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin, berkata orang ramai tidak perlu bimbang mengenai kebocoran maklumat dan data peribadi dalam PADU ini.
“Usah risau kerana maklumat dan data peribadi dalam PADU adalah selamat dan dakwaan mengatakan duit dalam akaun hilang seperti yang tular di media sosial adalah tidak benar,” ujarnya ketika ditemui pemberita sewaktu meninjau Kaunter Pendaftaran PADU di Pusat Maklumat Rakyat, Pusat Transformasi Bandar (UTC) di sini kelmarin.
Tambah beliau, pendaftaran PADU meningkat sejak mula diluncurkan pada 2 Januari lalu.
“Sehingga kini, lebih
600,000 penjawat awam selesai mendaftar PADU dan saya mohon agar orang ramai segera mendaftar PADU sebelum tarikh akhir,” katanya.
Seorang pesara, Nik Wan Abdul Basir Nik Wan Chantek, 61, dan isterinya Rosmah Ali Bashah, 60, dari Kampung Balok, berkata tindakan mendaftar PADU ini adalah bagi menyahut seruan kerajaan yang dirasakan langkah yang baik untuk rakyat.
“Walaupun kami tidak pernah mendapat sebarang bantuan daripada kerajaan namun kami mendaftar bukanlah bertujuan untuk mendapat subsidi atau bantuan semata-mata,” katanya.
-ZS-