
Laporan/foto: Mohamad Borhan Ahmad Ulis/JGM (Kuching)
KUCHING, 27 Feb (Malaysiaaktif) – Kejadian api marak dari bawah tanah yang pernah viral bertempat di tepi Sungai Kelka di daerah Simunjan pada hujung tahun lalu kini telah berakhir dan padam sepenuhnya.
Malaysia Aktif semasa menemu bual Pegawai Geosains di Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia Sarawak (JGM), Muhamad Firdaus Amiruddin memberitahu pasukan JGM telah meninjau lokasi kejadian pada Januari lepas dan sampel tanah diambil untuk mengenal pasti kandungan tanah berkenaan.
“Berdasarkan pemerhatian di lokasi, kita dapati punca kejadian api yang keluar dari tanah terhasil daripada pelepasan gas metana yang mudah terbakar.
“Gas metana terhasil daripada sisa-sisa makanan atau bahan-bahan organik yang terurai dan proses tersebut memakan masa yang lama dan endapan bahan itu menghasilkan gas metana,” jelas beliau.
Walaupun api yang marak kini telah padam, pelepasan gas metana masih lagi berlaku dan menurut Firdaus gas tersebut akan hilang dengan sendiri dalam tempoh masa yang sukar ditentukan.
“Mungkin ia mengambil masa beberapa minggu atau berbulan, yang pasti gas yang terhasil secara semula jadi akan padam sendirinya apabila sumber kehabisan,” katanya.
-ZS-