
Laporan/foto: Suzira Zainol Abidin/Mohammad Ezwandi (Perak)
IPOH, 7 Feb (Malaysiaaktif) – Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan merasmikan Kompleks Wanita, Kanak-kanak dan Kardiologi (KWKK) Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini semalam.
Keberangkatan tiba baginda bersama Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim disambut oleh Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad dan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad.
Turut berangkat Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa, Raja Puan Besar Perak Raja Nazhatul Shima Sultan Idris Shah dan Raja Di Hilir Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah.
Dr. Dzulkefly dalam sembah ucapannya, berkata selepas hampir lima tahun KWKK ini siap dibina pada 15 Ogos 2019, akhirnya ia dapat dirasmikan lantaran kekangan yang dihadapi seperti penularan wabak COVID19 yang menyebabkan KWKK tidak dapat dirasmikan lebih awal.
“Kini dengan adanya KWKK, maka HRPB menjadi antara tiga hospital terbesar di Malaysia selepas Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Pulau Pinang.
“Kompleks ini dibina dengan kos sebanyak RM237 juta di atas tapak berkeluasan 14,671 meter persegi di bawah peruntukan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10),” katanya.
KWKK menawarkan perkhidmatan kesihatan daripada tiga jabatan utama iaitu Obstetrik & Ginekologi, Pediatrik dan Kardiologi yang dilengkapi kemudahan 404 buah katil, enam dewan bedah serta 304 lot parkir untuk kegunaan kakitangan dan orang awam.
“Kompleks ini juga menyediakan tiga khidmat sokongan iaitu perkhidmatan Radiologi, Farmasi dan Unit Bekalan Bahan Steril bagi menyokong kelangsungan penyediaan perkhidmatan di bangunan ini.
“Besarlah harapan agar KWKK dapat terus memberikan perkhidmatan terbaik demi menjamin kesejahteraan hidup rakyat dan mencapai sasaran yang ditetapkan oleh kerajaan,” katanya.
-ZS-