Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurTerengganu

129 Orang Pimpinan JPKKP Setiu Hadir Taklimat Program SejaTi MADANI

By 15 April 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Nik Awang Yaacob (Setiu)

SETIU, 15 Apr (Malaysiaaktif) – Pimpinan Jawatankuasa Pembangunan Kemajuan dan Keselamatan Persekutuan (JPKKP) daerah Setiu telah diberi taklimat secara terperinci berkenaan tatacara permohonan Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTI) oleh Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Terengganu (ICU JPM) bertempat di Dewan Pendidikan Daerah Setiu, di sini semalam.

Timbalan Pengarah Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Terengganu Azhar Abdul Hamid, berkata peruntukan besar disediakan oleh Kerajaan Persekutuan dan setakat ini hanya 13 permohonan telah diterima daripada JPKKP bagi negeri ini.

“Setiap komuniti layak membuat permohonan dengan jumlah geran di antara RM50 ribu hingga RM100 ribu.

“Besar harapan agar JPKKP dapat memanfaatkan peruntukan yang disalurkan bagi memenuhi hasrat kerajaan dalam usaha untuk merancakkan ekonomi setempat dan meningkatkan taraf hidup,” katanya ketika menyampaikan taklimat.

Pengerusi JPKKP Kampung Wakaf Chagak Nazri Mamat, 52, meluahkan rasa syukur dan berterima kasih kepada ICU JPM yang mengambil tindakan proaktif menyampaikan taklimat berkenaan program SejaTI MADANI kepada JPKKP di daerah ini yang baru sahaja menerima watikah pelantikan bagi tahun 2024.

“Dengan adanya peruntukan dan saluran dana ini, JPKKP dapat bersama-sama membantu rakyat keluar dari garis kemiskinan sekali gus meningkatkan sosioekonomi komuniti setempat,” ujarnya.

Program SejaTi MADANI merupakan inisiatif baharu Kerajaan MADANI yang telah dilancarkan pada 13 Oktober tahun lalu oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi merancakkan aktiviti ekonomi setempat melibatkan lima sektor tumpuan iaitu pertanian dan makanan, jahitan dan kraftangan, herba dan kesihatan, pelancongan dan hospitaliti serta aktiviti hijau dan kitar semula.

Permohonan program ini bermula pada 25 Mac lalu sehingga 30 September ini.

-ZS-

Tinggalkan komen anda