Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPulau Pinang

Dugaan Aidilfitri: Kedai Nasi Tomato Popular Musnah Terbakar

By 17 April 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto : Nurul Wahida Mohd Noor (Timur Laut)

BATU LANCHANG, 17 Apr (Malaysiaaktif) – Kedai makan terkenal dan tular dengan hidangan nasi tomato di Flat Taman Seri Damai telah musnah terbakar dalam sebuah insiden kebakaran tragis pagi semalam.

Kepulan asap tebal dan nyalaan api yang dahsyat telah memusnahkan tiga buah kedai bersebelahan dan merosakkan beberapa motosikal.

Pemilik kedai Mohamad Tajulharus Abdul Wahab, 41,  ketika ditemui semalam masih terkejut dengan apa yang berlaku.

“Baru semalam (Isnin) kami membuka kedai semula selepas cuti panjang Aidilfitri. Sudah hampir 30 tahun saya berniaga di sini dan ini adalah dugaan paling getir yang pernah saya alami.

“Walau bagaimanapun, saya pasrah dan bersyukur kerana tidak ada nyawa yang hilang dalam kejadian ini,” katanya.

Sementara itu, Ita Puryanti, 48, seorang saksi menggambarkan momen genting tersebut.

“Saya terkejut dan cemas melihat api merebak begitu cepat.

“Saya segera berlari keluar untuk menyelamatkan diri dan memanggil bantuan untuk memadamkan api,” katanya.

Kebakaran itu juga telah menyebabkan kerosakan pada Dewan KRT yang terletak berdekatan.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia telah bertindak cekap mengawal situasi dan mencegah api dari merebak lebih luas.

Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam proses siasatan.

-ZS-

Tinggalkan komen anda