
Laporan/foto: Mohammad Rasuli (Bagan Datuk)
BAGAN DATUK, 8 Apr (Malaysiaaktif) – Sebanyak 100 buah isi rumah menerima sumbangan polibeg menerusi Program Rumah Hijau Madani B40 (PRHMB40) dalam sebuah majlis di Pejabat Persatuan Masyarakat Penyayang Kebajikan Kaum, di sini semalam.
Majlis tersebut merupakan anjuran bersama Pejabat Pusat Khidmat Ahli Majlis Perbandaran Teluk Intan Bagan Datuk, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan Alam Maju Madani Enterprise.
Menurut Ahli Majlis Teluk Intan Manukaran Ramulu, 59, pelancaran PRHMB40 sebelum ini telah disempurnakan oleh Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin dalam sebuah majlis di Tambun pada 22 Mac.
“PRHMB40 dilaksanakan bagi membantu keluarga dari golongan B40 untuk menjana pendapatan sendiri.
“Kenaikan harga barang membebankan golongan B40. Jadi, melalui program ini mereka boleh menanam sendiri makanan keperluan seterusnya menjana pendapatan tanpa mengharapkan bantuan kerajaan semata-mata,” katanya ketika ditemui.
Tambah Manukaran, setiap isi rumah menerima sebanyak enam buah polibeg yang ditanam dengan tiga jenis tanaman iaitu cili, terung dan kacang panjang.
“Apabila tanaman dijaga dengan baik hingga membuahkan hasil, mereka yang berminat untuk mengusahakan tanaman tersebut dalam skala lebih besar akan dibantu untuk tujuan tersebut,” katanya.
-AA-