Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

28,000 Syarikat Pengangkutan Darat Daftar SKDS 2.0 – Armizan

By 23 Mei 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)/KPDN

KLANG, 23 Mei (Malaysiaaktif) – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah mengadakan Sesi Penyerahan ‘Fleet Card’ Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0 di Kawasan Rehat Klang Utara, Lebuhraya Sepadu hari ini.

SKDS 2.0 tersebut diberikan kepada beberapa syarikat pengangkutan darat bersama wakil syarikat minyak melibatkan pelbagai jenis kenderaan seperti Lori Rigid – Kargo Am, Lori Rigid Luton / Kotak, Panel Van, Lori Rigid Refrigerated dan Penggerak Utama.

Menteri KPDN Datuk Armizan Mohd Ali, berkata sehingga 22 Mei 2024, sejumlah 28 ribu syarikat pengangkutan darat telah mendaftar dan mendapat kelulusan dalam pelaksanaan SKDS 2.0.

Armizan menyerahkan ‘fleet card’ Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0 kepada salah seorang penerima.

“Manakala pengeluaran ‘fleet card’ oleh lima syarikat minyak utama kepada syarikat-syarikat pengangkutan yang layak telah mencecah hampir 90 ribu sejak pengumuman dibuat oleh KPDN pada 7 Mac lalu.

“KPDN akan terus membuka permohonan kepada kesemua jenis pengangkutan darat awam dan barangan yang layak membuat permohonan melalui pautan https://mysubsidi.kpdn.gov.my/,” katanya semasa siding media hari ini.

Menurut Armizan, proses pendaftaran permohonan SKDS 2.0 Fasa Satu berjalan dengan lancar setelah proses pengintegrasian data bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Kerajaan telah bersetuju untuk memperluaskan pelaksanaan Fasa Dua kepada SKDS 2.0 melibatkan tambahan 14 jenis kenderaan barangan lain.

“Pertambahan dalam fasa dua ini menjadikan keseluruhan kenderaan barangan yang layak untuk mendapatkan diesel bersubsidi di bawah SKDS 2.0 adalah sebanyak 23 jenis kenderaan barangan,” jelasnya.

Katanya, sebarang pertanyaan untuk maklumat lanjut boleh hubungi Pusat Panggilan Sistem MySubsidi Diesel di talian 03-8882 6769 bermula jam 8 pagi hingga 5 petang pada hari bekerja.

-ZS-

Tinggalkan komen anda