Skip to main content
Berita TempatanMAPutrajaya

5 Perkara Anda WAJIB Tahu Mengenai BUDI MADANI

By 31 Mei 2024Jun 2nd, 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Oleh: Hisham Salleh

Kita selalu dengar dan nampak perkataan MADANI — di kaca TV, di radio, atau di tepi jalan. Ada Malaysia MADANI, Ekonomi MADANI, Agro MADANI, Harmoni MADANI, TVET MADANI. Baru baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ada umumkan BUDI MADANI.

Mesti ada yang tertanya-tanya apa itu BUDI MADANI? Jom baca sampai habis — 5 Perkara Anda WAJIB Tahu Mengenai BUDI MADANI

1. SUBSIDI RM200 SEBULAN UNTUK PEMOHON LAYAK

BUDI MADANI adalah salah satu inisiatif kerajaan dalam memastikan kebajikan rakyat yang terkesan dengan penyasaran subsidi diesel di Semenanjung Malaysia dapat dijaga. Melalui BUDI MADANI, kerajaan akan menyalurkan subsidi dalam bentuk sumbangan tunai sebanyak RM200 sebulan. Permohonan dibuka sepanjang tahun sejak 28 Mei 2024 melalui pautan budimadani.gov.my

2. BUDI INDIVIDU & BUDI AGRI-KOMODITI

BUDI MADANI terbahagi kepada dua kategori iaitu BUDI Individu iaitu individu bukan T20 (berpendapatan di bawah RM100,000 setahun), yang memiliki kenderaan diesel di Semenanjung Malaysia, tetapi bukan digunakan untuk perniagaan; manakala BUDI Agri-Komoditi melibatkan golongan petani, penternak dan pekebun kecil — yang menjana hasil jualan tahunan dari RM50,000 hingga RM300,000, serta berdaftar dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) atau Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK).

3. BEZA BUDI MADANI DENGAN MYSUBSIDI DIESEL

Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi atau nama lainnya MYSubsidi Diesel adalah inisiatif khusus untuk kenderaan awam dan pengangkutan barangan terpilih terus mendapatkan subsidi diesel melalui “fleet card”. Setakat 12 Mei 2024, terdapat 23 jenis kenderaan barangan yang layak mendapatkan diesel bersubsidi. Permohonan untuk MYSubsidi Diesel boleh dibuat melalui pautan mysubsidi.kpdn.gov.my.

4. GOLONGAN YANG TIDAK LAYAK BUDI INDIVIDU & BUDI AGRI-KOMODITI

Anda tidak layak untuk BUDI INDIVIDU sekiranya anda menggunakan:

  1. Motosikal diesel;
  2. Kenderaan diesel persendirian berdaftar bagi kegunaan syarikat/pertubuhan;
  3. Kenderaan mewah di bawah usia 10 tahun;
  4. Kenderaan berdaftar sebagai e-hailing;
  5. Jenis kenderaan: Karavan, motorhome, van persiaran, dan bas
    persiaran; atau
  6. Genset

Manakala, anda tidak layak untuk BUDI AGRI-KOMODITI sekiranya anda:

  1. Anda tidak berdaftar dengan KPKM & KPK;
  2. Anda merupakan nelayan atau pesawah;
  3. Pekebun kecil di bawah FELDA, FELCRA dan RISDA.

5. TUJUAN UTAMA PENYASARAN SUBSIDI INI DILAKSANAKAN

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, penyasaran subsidi diesel berkenaan adalah bagi memastikan subsidi yang sepatutnya dinikmati oleh gol0ngan yang lebih memerlukan, tidak ‘direbut’ oleh golongan ‘maha kaya’ dan warga asing. Menerusi penyasaran subsidi diesel tersebut, kerajaan dijangka mampu berjimat sekitar RM4 bilion setahun — sekaligus penjimatan tersebut boleh disalurkan kepada perkara-perkara yang lebih memerlukan perhatian.

-HS-

 

 

 

 

 

 

Tinggalkan komen anda