
Laporan/foto: Dhaifanzufar Dazuka (Kuala Selangor)
KUALA SELANGOR, 16 Mei (Malaysiaaktif) – Penganjuran Forum Pengukuhan Akidah Islam menjadi wadah penting dalam memupuk budaya keilmuan dan pengukuhan akidah dalam kalangan masyarakat.
Pegawai Tadbir Agama Islam Daerah Kuala Selangor Nasrul Hadi Rohani, berkata pengukuhan akidah Islam dan pemeliharaan adat kebudayaan adalah menjadi teras penting dalam masyarakat.

Ucapan perasmian program oleh Nasrul Hadi.
“Adat tempatan perlu berpandu kepada akidah Islam agar roh kerohanian Islam terus dapat diamalkan oleh masyarakat setempat.
“Hal ini dapat dilihat seperti adat budaya silat perlu berlandaskan amalan akidah yang betul dan tidak membabitkan khurafat yang mengabaikan pegangan ajaran islam,” katanya dalam ucapan perasmian di Dewan Serbaguna, Masjid Ar-Ridhuan Pekan Jeram, di sini semalam.

Persembahan silat oleh Persatuan Silat Gayung Daerah Kuala Selangor.
Forum menampilkan dua panel jemputan iaitu Pensyarah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya Profesor Madya Dr. Ahmad Faisal Abdul Hamid dan Pengerusi Persatuan Silat Gayong Daerah Kuala Selangor Cikgu Haji Lamsah Arbai@Bai.
Program anjuran Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan Jabatan Agama Islam Selangor dengan kerjasama Pejabat Agama Islam Daerah Kuala Selangor dan Masjid Ar Ridhuan Jeram, ini dilihat sebagai platform ilmu yang dapat memelihara akidah dan keaslian adat supaya masyarakat tidak terjerumus dalam apa-apa amalan yang bertentangan dengan agama Islam.
-ZS-