Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurKelantan

Dikir Barat Majmuk Gabung Tiga Kaum

By 16 Mei 2024Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Suhaidi Mat Jusoh (Tanah Merah)

TANAH MERAH, 15 Mei (Malaysiaaktif) – Dikir barat adalah permainan tradisional orang Melayu yang turut menjadi platform dalam menyampaikan maklumat kepada khalayak ramai.

Dikir barat ini mula dipelopori oleh masyarakat Melayu sejak turun temurun dan diwarisi dari generasi ke generasi tetapi trend ini telah berubah apabila dikir barat turut mempunyai peminat dari golongan bukan Melayu.

Kumpulan Dikir Barat Majmuk Sri Maharani

Melihat kepada permintaan, guru Pendidikan Muzik SMK Dato’ Mahmud Paduka Raja 1, Tanah Merah Mohd Zaki Yakub, 56, telah menubuhkan kumpulan dikir barat yang terdiri dari pelbagai kaum dan bangsa.

Tujuan utama penubuhan kumpulan dikir barat ini adalah bagi memupuk semangat perpaduan, kerjasama dan cintakan negara.

”Kumpulan dikir barat Sri Maharani terdiri daripada 30 pelajar iaitu tiga pelajar lndia, 10 pelajar dari kaum Cina dan 17 dari kaum Melayu.

“Kumpulan ini diwakili oleh pelajar perempuan dan pelajar lelaki pula ditugaskan untuk bermain alat muzik mengiringi persembahan kumpulan ini,” katanya ketika ditemui Program Semarak Hari Belia Negara Peringkat Daerah Tanah Merah di Dewan Wawasan, SMK Dato’ Mahmud Paduka 1, semalam.

Beliau dibantu oleh seorang guru bukan Melayu, Drista Sayun, 58 tahun, yang mengajar matapelajaran Kemahiran Hidup berkongsi pengalaman apabila turut sama-sama boleh belajar mengikut seni permainan warisan Kelantan yang unik dan menarik.

Kirithiva a/p Ramesh (tengah) dan Shania Ldya Yap a/p Baranesh (belakang sebelah kanan) ahli kumpulan Dikir Barat Sri Maharani

Ahli kumpulan dikir barat dari kaum lndia, Kirithiva a/p Ramesh, 16, amat teruja dan terharu apabila terpilih menganggotai kumpulan ini.

Dikir barat adalah satu seni yang asli yang hebat dan menarik, dengan keasliannya yang tersendiri.

Bagi ahli kumpulan dikir barat berbangsa Cina, Teo Thad Xuan, 14 beliau menyertai kumpulan dikir barat semata-mata ingin berkawan dan mempelajari keaslian dikir barat menerusi nyanyian dan rentak muzik.

Program ini dianjurkan oleh Pejabat Belia Dan Sukan Daerah Tanah Merah dengan kerjasama Pejabat Tanah Dan Jajahan Tanah Merah, Majlis Belia Daerah Tanah Merah dan Pejabat Pendidikan Daerah Tanah Merah.

Majlis telah dirasmikan oleh Ketua Jajahan Tanah Merah, Haji Ahmad Adlee Yasin. Turut hadir Pegawai Belia Dan Sukan Daerah Tanah Merah, Wan Abdul Rahman Wan Ismail, Ketua Polis Daerah, Superintendent Tuan Mohd Haki Hasbullah, ketua-ketua jabatan dan pelajar sekolah.

Majlis sama turut dihadiri oleh 900 orang dengan pelbagai aktiviti menarik seperti pameran agensi kerajaan dan swasta.

-AA-

Tinggalkan komen anda