
Laporan/foto: Nor’ain Ibrahim/Basharuddin Mohd Yassin (Kuantan)
KUANTAN, 28 Mei (Malaysiaaktif) – ENCORP Berhad dan Touch Group Holdings Sdn. Bhd. Melancarkan projek pembangunan campuran kediaman dan komersial yang pertama di Teluk Cempedak, di sini semalam.

Titah Perasmian Majlis Pecah Tanah Projek Usahasama di antara Encorp Berhad dan Touch Group Holdings Sdn. Bhd. disempurnakan oleh Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ENCORP Hazurin Harun, pembangunan yang bakal didirikan di atas tanah yang berkeluasan hampir lima ekar ini bakal menempatkan 945 unit kediaman, 21 unit ruang komersial dan lebih 2,000 petak parkir kereta termasuk petak khas khusus bagi golongan Orang Kurang Upaya (OKU).
“Nilai Pembangunan Kasar bagi pembangunan di atas tanah yang berstatus pegangan bebas ini adalah melebihi RM500 juta dan pembangunan ini dijangka akan dilancarkan pada pertengahan suku keempat tahun 2024 manakala pembinaan pula dijangka akan bermula pada suku pertama tahun 2025,” ujarnya.

Sesi fotografi Pengurusan tertinggi Encorp Berhad dan Touch Group Holdings Sdn Bhd bersama Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang dan Yang Amat Mulia Kerabat Bergelar.
Uniknya, nama yang telah dipilih untuk projek pembangunan ini telah diinspirasikan oleh Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sendiri yang berasaskan suatu spesis pokok yang terdapat di sekeliling kawasan tapak projek iaitu pokok balau.
-ZS-