Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanJohor

Jong Haji Lazim Warisan Pulau Tanjung Surat

By 31 Mei 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Shahqrul Azim Shaari/Al-Tarmizi Azmi (Kota Tinggi)

KOTA TINGGI, 30 Mei (Malaysiaaktif) – Jong merupakan permainan tradisional orang Melayu yang terkenal dalam kalangan nelayan yang tinggal di pesisir pantai selatan negeri Johor. Permainan yang bermula lebih 200 tahun lalu ketika zaman Kerajaan Johor-Riau dimainkan di laut bagi menguji kehebatan dan kepintaran setiap pemain menentukan arah angin untuk mendapatkan kemenangan.

Mohd Lazim Atan, 62, pengusaha Bengkel Jong Keluarga Haji Lazim di Pulau Tanjung Surat, ketika ditemui berkata jong adalah sampan kecil tanpa pengemudi yang dimainkan mengikut arah angin seperti kapal layar.

Proses pembuatan jong menggunakan kayu Pulai

“Uniknya jong, ianya boleh bergerak sendiri dengan bantuan angin asalkan pemain menetapkan layar dan katir (pengimbang) mengikut arah yang dikehendaki. Di zaman sekarang, jong dipertandingkan di peringkat tempatan dan antarabangsa bagi meraih gelaran juara selain menghidupkan warisan turun-temurun ini,” ujarnya.

Bercerita mengenai perusahaan membuat jong yang dimilikinya, beliau mula mengasah kemahiran membuat jong sekitar tahun 1985 hasil penelitian sebuah jong lama milik keluarganya yang tersimpan di rumah.

“Hasil mencuba dan belajar sedikit demi sedikit, akhirnya kemahiran yang dipelajari dapat digunakan sehingga hari ini bagi menghasilkan jong yang berkualiti berdasarkan permintaan pelanggan untuk digunakan dalam pertandingan,” katanya.

Tambah beliau, agensi-agensi kerajaan turut membantu dari segi bantuan peralatan dalam menyokong perusahaan industri kecil dan sederhana (IKS) yang diusahakannya.

Peluang pekerjaan di Pulau Tanjung Surat ini terhad kerana tiada laluan darat ke tanah besar. Bantuan dan sokongan yang diberikan agensi-agensi kerajaan seperti Pejabat Daerah Kota Tinggi, Majlis Perbandaran Pengerang dan Lembaga Kemajuan Johor Tenggara amat dihargai bagi membolehkan perusahaan IKS ini terus berkembang, dan membuka peluang kerjaya sebagai pembuat jong di pulau ini.

Bahan asas penghasilan jong adalah kayu pulai yang ditebuk dan diukir sehingga menjadi jong. Kain layar yang dipasang perlu menggunakan bahan kalis air bagi meringankan pergerakan jong agar mudah meluncur di permukaan air.

Terdapat lima jenis kategori jong yang dihasilkan di bengkel ini mengikut saiz dari 23 inci sehingga 50 inci. Selain itu, turut dihasilkan jong untuk kanak-kanak dan juga boleh ditempah sebagai cenderamata. Proses pembuatan mengambil masa satu minggu untuk jong yang kecil, dan masa yang lebih panjang diperlukan untuk jong yang lebih besar.

Antara jong yang dihasilkan oleh Bengkel Jong Keluarga Haji Lazim dan telah menyertai pelbagai pertandingan

Jong hasil ciptaan Bengkel Jong Keluarga Haji Lazim terbukti berkualiti apabila menjadi juara dalam Pertandingan Lumba Jong peringkat antarabangsa melibatkan tiga negara iaitu Malaysia, Indonesia dan Singapura tahun lalu.

Jong Haji Lazim warisan Pulau Tanjung Surat ini perlu diangkat sebagai daya tarikan dan menjadi lokasi wajib singgah pelancong dari dalam dan luar negara menjelang Tahun Melawat Johor 2026.

-AA-

Tinggalkan komen anda