
Laporan/foto : AgKu Marzuki Ag Latip/Mohd Maqdi Salleh
TAWAU, 27 Mei (Malaysiaaktif) – Kerajaan komited merangka strategi khusus bagi memastikan nasib golongan yang memerlukan sentiasa terpelihara dalam menghadapi cabaran kos sara hidup yang tinggi.
Usaha, galakan dan sokongan berterusan akan dilaksanakan dalam usaha membantu meningkatkan pendapatan usahawan tani serta kumpulan B40 dan M40 melalui Program Jualan Agro MADANI.

Penyampaian cek cura kepada beberapa usahawan projek Naik taraf Agrobazaar terlibat.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Arthur Joseph Kurup, berkata penganjuran program tersebut menyumbang kepada peningkatan kebolehdapatan dan ketersediaan bagi memudahkan pengguna mendapatkan bekalan produk-produk segar pada kadar harga yang berpatutan.
“Pencapaian Jualan Agro MADANI pada tahun lalu telah mencatatkan nilai jualan RM93.74 juta setelah diadakan di 5,608 lokasi seluruh negara dengan melibatkan 74,841 usahawan.
“Program ini telah berjaya mencatatkan nilai penjimatan sebanyak RM27.8 juta kepada 11.6 juta isi rumah dan akan diperluaskan pelaksanaannya dengan sasaran sebanyak 5,000 sesi jualan berakhir Oktober 2024,” katanya ketika merasmikan Karnival Jualan Agro MADANI di sini pada Sabtu.
Tambah Arthur, program memberi manfaat kepada para usahawan yang terdiri daripada peserta Program Ladang Kontrak, Usahawan Bimbingan Kerajaan, Pengilang atau Pemproses Produk Agromakanan.

Penyampaian cek cura kepada beberapa usahawan projek Naik taraf Agrobazaar terlibat.
“Para penjual akan menikmati peningkatan pendapatan menerusi konsep jualan terus kepada pengguna tanpa melibatkan orang tengah (pengumpul atau pemborong).
“Pelbagai barangan keperluan dijual sepanjang termasuk agro-makanan seperti produk segar sayur-sayuran, buah-buahan, ikan, ayam, daging dan telur pada harga 10 ke 30 peratus di mana harga yang lebih murah dan berbaloi berbanding harga pasaran tempatan,” jelasnya.
Untuk rekod, sehingga 12 Mei lalu, program Jualan Agro MADANI untuk tahun ini telah dilaksanakan di 2,745 lokasi di seluruh negara dan mencatatkan nilai jualan RM56.55 juta.
Program yang melibatkan kira-kira 31,442 usahawan itu telah berjaya mencatatkan nilai penjimatan yang tinggi kepada pelanggan iaitu kira-kira RM16.8 juta.
Sementara itu, Penganjuran Karnival Jualan Agro MADANI Mega Tawau 2024 di Perkarangan Bangunan Majlis Perbandaran Tawau yang berlangsung selama tiga hari mulai Jumaat melibatkan hampir 140 usahawan menawarkan produk agromakanan dan jualan barangan pertanian segar terpilih pada harga yang berpatutan.
-ZS-