
Laporan/foto: Mohammad Rasuli (Bagan Datuk)/FAMA
RUNGKUP, 23 Mei (Malaysiaaktif) – Program Jualan Agro Madani anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) daerah Bagan Datuk menerima sambutan yang menggalakkan daripada penduduk tempatan.
Program yang berlangsung di Agro Bazaar Kedai Rakyat, Simpang Tiga, di sini semalam menawarkan pelbagai produk keluaran usahawan tempatan dengan harga berpatutan dan penjimatan antara 10 hingga 30 peratus.

Penduduk beratur untuk membeli barangan keperluan di Agro Bazaar Kedai Rakyat sempena Program Jualan Agro Madani.
Menariknya lagi, FAMA turut menawarkan pek Kombo Madani untuk 88 orang pembeli terawal yang mengandungi produk ayam segar, tempe dan minyak masak dengan tawaran harga hanya RM10 berbanding harga asal RM15.
Penolong Pegawai Ehwal Ekonomi FAMA Bagan Datuk Muhamad Aiman Ramli, 28, berkata pek kombo dari FAMA sentiasa mendapat permintaan yang tinggi daripada pelanggan dan hari ini jualan pek kombo habis dijual hanya dalam masa dua jam.
“Item yang terdapat dalam pek Kombo Madani sentiasa ditambah baik berdasarkan keperluan semasa dan permintaan pelanggan,” katanya.

Azahari Ahmad berharap program Jualan Agro Madani akan dilaksanakan dengan lebih kerap.
Tambah Muhamad Aiman, penganjuran program ini berjaya mencapai matlamatnya kerana bukan sahaja berjaya membantu perkembangan ekonomi usahawan yang berada di bawah bimbingan FAMA malah membantu meringankan beban ekonomi yang dialami rakyat terutama golongan sasar dan kurang berkemampuan.
Sementara itu, pengunjung Azahari Ahmad, 62, berkata barangan runcit yang dijual dalam program ini boleh didapati dengan harga yang amat berpatutan.
“Semoga penganjuran program ini diteruskan dan dilaksanakan dengan lebih kerap pada masa akan datang,” ujarnya.
-ZS-