
Laporan/foto:Noor Farihah Mohamed Rahim (Jeli)
JELI, 28 Mei (Malaysiaaktif) – Usaha mendidik dan memberi kesedaran kepada orang ramai tentang kepentingan simpanan atau tabungan bagi menjamin masa depan mampu menjadi pendorong untuk mempunyai kefahaman tentang literasi kewangan.
Pegawai Operasi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Cawangan Tanah Merah, Mawardi Kamaru Zaman, berkata kempen ‘Jom Tambah, Simpan Baik-Baik’ berupaya menjadi pengenalan bagi menggalakkan orang ramai khususnya ahli KWSP menambah kadar caruman mereka.

Mawardi membantu pengunjung mendapat maklumat mengenai kempen.
“Pendedahan kepada kempen ini kepada masyarakat diharap dapat membantu ahli membuat persediaan untuk persaraan dalam masa yang sama mendapat faedah yang lebih efisien dan menyeluruh apabila mereka mencarum dengan KWSP.
“Inisiatif ini juga merupakan sebahagian daripada usaha KWSP untuk mendekati rakyat secara bersemuka dengan menyediakan pelbagai perkhidmatan secara fizikal dan menyampaikan informasi terkini berkaitan perkhidmatan yang disediakan oleh KWSP termasuk berkongsi mengenai perancangan persaraan atau kewangan kepada kumpulan sasaran,” katanya.
Mawardi berkata demikian ketika mengadakan taklimat berkaitan kempen tersebut di sini semalam.

KWSP menawarkan perkhidmatan kepada komuniti setempat.
“Saya berharap supaya program ini mampu memberi impak serta manfaat kepada orang ramai apabila pendedahan terhadap informasi dan penambahbaikan skim KWSP serta insentif daripada pihak kerajaan disebar luas kepada orang ramai.
Penjawat awam Nur Raihan Suhaimi, 31, berkata kempen ini sangat membantu dalam menjamin masa depan persaraan khususnya kepada individu yang bekerja dalam sektor tidak formal dan tiada pendapatan tetap.
Antara perkhidmatan lain yang disediakan kepada orang ramai adalah semakan penyata KWSP, pendaftaran ahli baharu, mengemas kini maklumat ahli, akaun-i, menyertai skim i-Lindung dan pendaftaran akaun Simpanan Shariah.
-ZS-