Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

Kesan Gejala Penyakit Lupus, Dapatkan Rawatan Segera

By 16 Mei 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Nizwan Mohd Daini/Sunday Grace Justimus (Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU, 16 Mei (Malaysiaaktif) – Systemic Lupus Erythematosus (SLE) atau Lupus sejenis penyakit autoimun kronik yang tidak berjangkit tetapi tersenarai sebagai salah satu penyakit berisiko tinggi yang boleh mengancam nyawa.

Berdasarkan portal MyHealth Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Lupus biasanya menyerang wanita dalam lingkungan usia reproduktif sementara wanita muda dalam peringkat usia untuk mengandung adalah golongan majoriti yang diserang penyakit ini.

Dr Anna (kiri) ketika ditemubual oleh Pegawai Penerangan (kanan)

Sementara itu, Lupus juga akan mengakibatkan badan menghasilkan antibodi yang menyerang tisu badan sendiri, menyebabkan radang atau inflamasi di banyak bahagian badan seperti kulit, sendi dan organ dalaman seperti otak, paru-paru, jantung termasuk buah pinggang.

Pakar Rheumatologi Hospital Queen Elizabeth, Dr Anna Farazilah Mohd Salleh berkata, penyakit Lupus boleh berlaku hasil kombinasi dua faktor utama iaitu genetik dan persekitaran tertentu yang boleh mengaktifkan gen Lupus di dalam badan seseorang pesakit.

“Gejala penyakit Lupus boleh dilihat pada permukaan kulit terutama sekali bahagian muka kerana terdedah kepada cahaya matahari dan ia boleh menyerang mana-mana organ atau tisu dari kulit atau sendi sehingga ke jantung, buah pinggang dan otak yang boleh menyebabkan sawan.

“Gejala lain yang perlu diberi perhatian ialah kemunculan tompok-tompok merah di bahagian pipi dan hidung seperti bentuk kupu-kupu selain ruam yang juga boleh timbul di muka, telinga, permukaan kedua-dua lengan, tangan, bahu serta dada pesakit,” katanya ketika ditemu bual dalam program Influencer@JAPEN Sabah, di sini pada Khamis.

Tambah beliau lagi, pesakit yang menghidap penyakit ini akan diberikan rawatan perubatan daripada pihak hospital dan menasihati mereka agar tidak terdedah daripada cahaya matahari serta penjagaan beberapa pakar profesional penjagaan kesihatan iaitu pakar Rheumatologi.

Dr Anna menerima sijil penghargaan daripada Ketua Penolong Pengarah Bahagian Media Siber, Geraldine Voo

“Ini bukanlah penyakit misteri seperti mana segelintir mereka yang beranggapan penyakit lupus adalah penyakit misteri atau buatan orang, dan bagi golongan yang menghadapi gejala penyakit Lupus ini hendaklah mendapatkan rawatan segera daripada pihak hospital,” tegasnya.

Untuk rekod, Persatuan SLE Malaysia menganggarkan lebih daripada 10,000 orang rakyat di negara ini telah disahkan mengidap SLE dalam jangka masa 30 tahun kebelakangan ini.

-AA-

 

Tinggalkan komen anda