Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerlis

KPKM Komited Perkukuh Keterjaminan Makanan di Negeri Perlis

By 17 Mei 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Anuar Che Amat

ARAU, 17 Mei (Malaysiaaktif) – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) terus komited dalam memperkukuhkan keterjaminan makanan negara supaya lebih berdaya tahan dan mampan dengan meningkatkan prestasi rangkaian di semua aktiviti termasuk melalui faktor pengeluaran hinggalah keberadaan dan pengedaran.

Arthur ketika melawat kedai Peladang Outlet PPK Padang Siding.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Arthur Joseph Kurup, berkata KPKM telah memperuntukkan sejumlah RM13.7 juta merangkumi dua projek pembangunan baharu dan lapan projek sambungan di negeri Perlis dalam usaha kerajaan untuk terus komited memperkukuh keterjaminan makanan negara.

“Antara projek tersebut termasuklah projek menaik taraf stesen pam pengairan dan saliran Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan kawasan baharu MADA dan membina serta menaik taraf infrastruktur pengairan di Skim Pengairan Panggas dan Sungai Serai, daerah Padang Besar,

“KPKM juga turut memperuntukkan bajet Penyelenggaraan Sistem Pengairan dan Saliran Pertanian Bagi Kawasan Jelapang serta Kawasan Pertanian kepada Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Perlis dengan nilai RM790,000,” katanya ketika mengadakan lawatan kerja ke Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Padang Siding, di sini semalam.

Timbalan Menteri turut melawat ladang harumanis yang berada di dalam kawasan PPK Padang Siding.

Di dalam peruntukan bajet pembangunan tahun 2024 di bawah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) juga, sejumlah RM2.076 juta diperuntukan di bawah Program Peningkatan Produktiviti Pertanian (Sayuran), Program Pemerkasaan Rantaian Agromakanan Pertubuhan Peladang, Pemerkasaan Usahawan Peladang (Rise-Up), Program Pemilikan Jentera Kecil dan Sederhana Secara Geran Padanan, Program Menaik Taraf dan Tambah Hayat Mekanisasi Ladang Sedia Ada dan Program Pengukuhan dan Pemodenan Khidmat Mekanisasi dan Automasi Pertanian.

Peruntukan Pembangunan di bawah LPP ini dlihat akan memberi manfaat kepada enam PPK seluruh Negeri Perlis dan satu Pertubuhan Peladang Negeri Perlis.

Turut hadir Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang Datuk Wira Haji Mahfuz Omar.

-ZS-

Tinggalkan komen anda