Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurPahang

Lelaki Orang Asli Suku Semai Raih Pendapatan Hasil Kraftangan Rotan dan Buluh

By 28 Mei 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Intan Saziana/Sunito (Cameron Highlands)

CAMERON HIGHLANDS, 28 Mei (Malaysiaaktif) – Kraftangan rotan dan buluh merupakan seni warisan turun-temurun sebagai produk kegunaan harian masyarakat Orang Asli dan mampu menjana pendapatan lumayan buat mereka.

Menurut Muhammad Surat Abdul Rashid, 43, beliau memulakan perniagaan kraftangan berunsurkan rotan dan buluh untuk menjana pendapatan dan ingin mengetengahkan kraftangan yang merupakan warisan secara turun-temurun daripada nenek moyangnya.

Produk berasaskan buluh dan rotan yang dijual di kedai Muhammad Surat.

“Saya memulakan perniagaan kraftangan ini kerana ingin menjana pendapatan.

“Selain itu juga walaupun majoriti Orang Asli di kampung ini sudah tinggal di rumah batu, seni warisan ini perlu diperkenalkan kepada generasi baru agar tidak pupus ditelan zaman,” katanya ketika ditemui di Kedai Kraftangan Kampung Orang Asli Leryar Lembah Bertam, di sini semalam.

Katanya lagi, warisan turun-temurun daripada nenek moyangnya juga perlu dikekalkan.

Muhammad Surat menunjukkan cara permainan tradisional kercang yang diperbuat daripada rotan.

“Saya juga membuka kedai ini kerana ingin menurunkan ilmu perniagaan kepada anak-anak saya agar mereka dapat meneruskan legasi perniagaan ini sekali gus mengekalkan warisan turun-temurun ini,” ujarnya yang turut menerima bantuan premis perniagaan daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Negeri Pahang.

Beliau turut menambah produk kraftangan tersebut mendapat sambutan yang menggalakkan khususnya bagi peminat kraftangan dan banyak tempahan yang diterima.

-ZS-

Tinggalkan komen anda