
Laporan/foto: Amalina Shazwani Md. Suhaimi/Sufian Rashid
NIBONG TEBAL, 25 Mei (Malaysiaaktif) – Pelajar jurusan Teknologi Reka Bentuk Grafik dari Institut Latihan Perindustrian (ILP) Arumugam Pillai Nibong Tebal Muhammad Salman Jun Azmi kini sedang bersiap dalam Adobe World Championship yang akan diadakan di California pada 28-31 Julai nanti.
Muhammad Salman yang telah dinobatkan sebagai juara selepas kejayaan mengungguli 30 peserta akhir dalam Kejohanan Kebangsaan Adobe Certified Professional (ACP) Championship Malaysia 2024 baru-baru ini telah melayakkan Salman mewakili Malaysia dalam kejohanan dunia tersebut.

Salman menjadi kebanggaan ILP Arumugam Pillai.
ACP Championship Malaysia merupakan pertandingan yang terbuka kepada semua institusi pengajian tinggi, institut kemahiran, politeknik, kolej komuniti serta sekolah menengah di seluruh negara.
“Saya berasa sangat bersyukur dan bangga atas kejayaan ini.
“Ini adalah hasil kerja keras dan sokongan daripada keluarga, pensyarah serta rakan-rakan dan saya berharap dapat memberikan yang terbaik di California seterusnya mengharumkan nama Malaysia,” katanya, di sini kelmarin.

Sesi bergambar semua peserta.
Pertandingan tersebut akan menguji kemahiran reka bentuk para pelajar menggunakan perisian Adobe Photoshop, Illustrator dan InDesign
Pertandingan ACP anjuran Creative Cloud Community (CCC) ini juga merupakan platform untuk pelajar jurusan Seni dan Reka Bentuk mempamerkan hasil kerja mereka pada skala yang lebih luas.
-ZS-