
Laporan/foto: Ashikin Mustafa/Muhammad Al-Tarmizi
KOTA TINGGI, 19 Mei (Malaysiaaktif) – Program Gerak Kerjaya Myfuturejobs@KotaTinggi 2024 di Dewan Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) bersempena Jelajah Aspirasi Orang Muda Johor, di sini kelmarin menawarkan peluang pekerjaan dan lebih 600 kekosongan jawatan.
Menurut salah seorang kakitangan Unit Strategik Modal Ihsan Johor, Aniq Zafran Roslan, 30, berkata program ini merupakan platform yang sesuai bagi golongan muda negeri Johor untuk mencari pekerjaan yang bersesuaian dengan mereka.

Antara agensi-agensi yang mengambil bahagian.
“Kami ke sini untuk memberi peluang pekerjaan kepada golongan muda rakyat Johor mahupun seluruh rakyat Malaysia.
“Sebanyak 13 syarikat telah mengambil bahagian, antaranya adalah Decathlon Logistics Malaysia, Maraliner, Hard Rock Hotel Desaru Coast, Mydin Mohamed Holding dan banyak lagi,” ujarnya.
Program dimulakan dengan sesi temu duga oleh pelbagai majikan yang dipilih sendiri oleh para pencari kerja dan keputusan terus dimaklumkan sejurus selesai sesi temu duga.

Sekitar suasana sesi temu duga.
Salah seorang pengunjung yang berjaya mendapatkan pekerjaan di program tersebut, Muhammad Nazreen Rosli, 21, berkata rezeki tidak datang bergolek, tetapi boleh datang dengan usaha.
“Saya datang untuk mencuba nasib dan alhamdulillah saya berjaya mendapat pekerjaan sebagai ‘mechanical fitter’ (pemasang kelengkapan mekanikal) di Shapadu CR Asia Sdn. Bhd.
“Program ini sangat bermanfaat kepada golongan muda yang mencari pekerjaan dan saya berharap agar program ini dapat diteruskan di masa hadapan,” katanya.
-ZS-