Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

Patriotisme Bukan Sekadar Semangat, Perlu Disemai, Dihayati – Ewon

By 21 Mei 2024Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Zaidi Jamin/Unit Foto, Jabatan Penerangan Sabah (Sabah)

KOTA KINABALU, 22 Mei (Malaysiaaktif) – Setiap warga di negeri ini tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang memainkan peranan untuk menyemarakkan rasa cinta kepada negara.

Bukti kecintaan kepada negara ini boleh diterjemahkan masyarakat melalui penglibatan program-program patriotik yang telah disusun dan dirancang sepanjang menuju Bulan Kebangsaan pada bulan Ogos dan Hari Malaysia pada September nanti.

Turut diadakan majlis pembacaan ikrar.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) Datuk Ewon Benedick, berkata semangat patriotisme dan cinta pada negara adalah penting untuk dihayati dan dilaksanakan oleh setiap rakyat Malaysia bukannya sekadar luahan perasaan.

“Sehubungan itu, majlis Ekspresi Bulan Kebangsaan 2024 dengan matlamat meningkatkan kesedaran serta memupuk semangat patriotisme merupakan program penting sebagai platform untuk setiap warganegara berkongsi semangat patriotik sekali gus menghayati erti kemerdekaan Malaysia.

“Saya berharap dan menyeru agar kita dengan hati yang ikhlas secara bersama-sama berusaha menyemarakkan rasa cinta kepada negara dalam meraikan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2024,” katanya semasa merasmikan Majlis Ekspresi Bulan Kebangsaan 2024 bertempat ITCC Shopping Mall, Penampang pada Ahad.

Tambahnya, pelbagai jabatan khasnya di bawah Kementerian Komunikasi di peringkat Persekutuan akan konsisten menganjurkan program kemerdekaan bagi menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat.

Ewon (enam dari kanan) merakamkan gambar kenangan bersama ketua-ketua jabatan.

“Patriotisme bukan sekadar semangat, tetapi juga satu bentuk keutuhan jati diri yang perlu disemai dan dihayati kerana ia melibatkan soal keyakinan, kesetiaan, kewarganegaraan, kemerdekaan, jati diri dan kedaulatan.

“Saya pasti setiap jabatan khususnya agensi berada di bawah Kementerian Komunikasi (KK) telah merangka pelbagai program dan memainkan peranan masing-masing dalam pelaksanaan program kemerdekaan sepanjang bulan merdeka ini,” ujarnya.

Majlis Ekspresi Bulan Kebangsaan 2024 merupakan acara tahunan iaitu satu ‘kick-off sign’ ataupun pemula kepada pengiraan detik menuju Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) dengan kerjasama pelbagai jabatan di bawah Kementerian Komunikasi.

Antaranya melibatkan Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen), Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM), Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC), Pertubuhan Berita Nasional (BERNAMA), Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Pos Malaysia dan Telekom Malaysia.

Hadir sama pada majlis Pengarah Penerangan Sabah Jainisah Mohd Nor, Ketua-ketua Jabatan dan Agensi Kementerian Komunikasi Negeri Sabah, Pengurus Besar ITCC Shopping Mall, Ketua-ketua Jabatan Daerah Penampang serta Pengerusi-pengerusi Komuniti MADANI Daerah Penampang.

-ZS-

Tinggalkan komen anda