Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahKuala Lumpur

PBAKL 2024: PM Umum Baucar Buku RM100

By 31 Mei 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Parameswary Lekshmnan/Rahimah Rafiai (Kuala Lumpur)

KUALA LUMPUR, 31 Mei (Malaysiaaktif) – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam telah mengumumkan baucar pembelian buku bernilai RM100 kepada pelajar bermula semalam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap merasmikan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL)

Pemberian baucar buku itu akan melibatkan pelajar sekolah rendah bermula dari Tahun Empat hingga ke sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi (IPT).

“Bagi tahun ini, kita mulakan dari Tahun 4 dan ke atas untuk mengurangkan tekanan kepada kewangan kerajaan.

“Ia turut diberikan kepada pelajar sekolah menengah, universiti, kolej, institusi perguruan dan sebagainya.

“Mulai jam 2 petang hari ini, pemberian baucar ini akan dimulakan, insya-Allah,” katanya ketika berucap merasmikan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) semalam.

Beliau turut mengarahkan Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk menyediakan mekanisma penebusan baucar berserta senarai buku yang boleh dibeli di PBAKL 2024 yang bakal berakhir pada Ahad ini.

Turut hadir bersama Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd. Kadir, Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Armizan Mohd Ali dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

PBAKL anjuran kali ke-41 itu menampilkan sebanyak 972 reruai dengan 241 pempamer termasuk 14 pempamer dari luar negara seperti dari Singapura, Thailand, Filipina, India, China, Taiwan dan Iran.

Suasana sekitar PBAKL 2024

Pesta buku yang berlangsung mulai 24 Mei hingga 2 Jun itu disusun atur dengan pelbagai aktiviti dan kejutan yang menarik buat semua peminat buku dari segenap usia dengan menyasarkan 1.5 juta pengunjung.

-AA-

Tinggalkan komen anda