
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus (Labuan)
LABUAN, 26 Mei (Malaysiaaktif) – Perbadanan Labuan (PL) diarah untuk meneliti syarat-syarat kelayakan untuk memohon Projek Perumahan Rakyat (PPR) Batu Arang.

Zaliha melihat sendiri perkembangan projek PPR Batu Arang agar mematuhi spesifikasi yang ditetapkan
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa, beliau mengarahkan Perbadanan Labuan untuk meneliti dasar dan syarat kelayakan bersama-sama pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi memastikan projek perumahan ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh penduduk Labuan.
“Saya telah memberi peringatan kepada pihak pemaju agar projek ini memenuhi semua spesifikasi yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa yang berkenaan dan memastikan penyerahan dapat dilaksanakan mengikut tarikh yang ditentukan.
“PPR Batu Arang mempunyai 500 unit rumah kediaman dengan 2 blok ini bakal menempatkan warga Labuan yang layak juga dilengkapi dengan kemudahan tadika, dewan orang ramai, surau dan juga taman permainan serta dijangka boleh didiami penduduk sebelum akhir tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan semalam selepas meninjau perkembangan dua projek pembangunan iaitu projek pembangunan PPR Batu Arang dan Sekolah Menengah Agama Labuan Sungai Bedaun.
Menurut beliau lagi, projek pembangunan Sekolah Menengah Agama Labuan Sungai Bedaun merupakan projek kendalian Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang bakal memanfaatkan 600 orang pelajar khususnya anak-anak asnaf sekitar Labuan serta mampu menampung pelajar-pelajar aliran agama yang berminat dari Sabah dan Sarawak.
“Sekolah yang dilengkapi dengan asrama pelajar lelaki dan perempuan serta kuarters guru juga kemudahan kantin, dewan makan dan keperluan sukan ini dijangka siap dan boleh beroperasi selewat-lewatnya pada tahun 2027,” ujarnya.
-AA-