Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

Potensi Kampung Lokub Kiulu Bangun Ekonomi Setempat Melalui Teknologi

By 21 Mei 2024Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Nurul Aqilah Ahmad/Politeknik Kota Kinabalu (Sabah)

KOTA KINABALU, 21 Mei (Malaysiaaktif) – Kampung Lokub Kiulu berpotensi sebagai salah satu kawasan komuniti menjadi peneraju dan pencentus penggunaan teknologi bagi membantu meningkatkan kemajuan penduduk kampung setempat.

Melalui penglibatan pihak Politeknik Kota Kinabalu (PKK), penduduk kampung telah diberikan pendedahan berkenaan dengan pengaplikasian teknologi dalam pembuatan kraftangan, media sosial, termasuk pengurusan koperasi sebagai agen penggerak ekonomi.

Sesi menandatangani Surat Niat (LOI) di antara PKK yang diwakili oleh Razak (dua dari kiri) dan Gohun yang disaksikan oleh Madius (tiga dari kiri).

Ahli Parlimen Tuaran Datuk Seri Panglima Madius Tangau, berkata melalui Program Tanggungjawab Korporat (CSR) Academia Perdana tersebut, komuniti di kampung berkenaan dapat berkongsi idea dan memahami konsep yang diperkenalkan pihak PKK untuk membangunkan ekonomi dan sosial warga.

“Program ini akan memberi peluang kepada penduduk untuk berkongsi idea dan memahami konsep-konsep yang cuba dibawa oleh pihak Politeknik Kota Kinabalu selain menunjukkan rasa berterima kasih kepada warga penduduk kampung.

“Penduduk Kg Lokub sentiasa menerima dengan hati terbuka terhadap program seperti ini yang membuat saya merasakan bahawa kampung ini bakal menjadi salah satu peneraju dan pencipta teknologi yang membantu ke arah kemajuan penduduk kampung setempat,” katanya semasa Program CSR Academia Perdana PKK di sini pada Isnin.

Sementara itu, Timbalan Pengarah PKK Abdul Razak Mohd Daim, berkata program ini merupakan salah satu usaha pihak PKK dalam memastikan kemahiran teknikal dan ilmu yang diperolehi oleh pelajar dan pensyarah dapat disalurkan secara berterusan bagi membantu komuniti setempat.

Sesi pembentangan idea projek oleh pelajar Jabatan Kejuruteraan Elektrik.

“Pelbagai aktiviti telah dilaksanakan melibatkan penduduk Kampung Lokub antaranya bimbingan mengenai akuntansi kepada Koperasi Kampung Lokub, pengenalan platform sosial media untuk ekopelancongan, mesin penyalut dalam membantu kraftangan, Sistem Pengesanan Banjir serta kajian awal kualiti air Sungai Kiulu dalam membantu Sustainable Development Goals (SDG).

“Di samping itu, jabatan sokongan akademik telah mengajurkan aktiviti melibatkan pelajar sekolah menengah dan rendah bagi meningkatkan minat dalam program STEM yang melibatkan program minat dalam subjek Matematik dan program komunikasi Bahasa Inggeris,” ujarnya.

Untuk makluman, Program Tanggungjawab Korporat (CSR) Perdana di Kampung Lokub Kiulu, Tuaran ini telah bermula sejak Mac lalu yang turut disertai seramai 66 anggota dan 45 pelajar PKK.

Turut hadir Ketua Kampung Lokub Kiulu Yunus Limun, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Gohun Guntalib, Ketua Jabatan Matematik, Sains dan Komputer Ismail Asis dan Pengarah Program Darni Mohamed Yusoff.

-ZS-

Tinggalkan komen anda