
Laporan/foto: Rajeswari a/p Anbazagan/Ahmad Suhaimi bin Mokhtar (Kuala Lumpur)
KUALA LUMPUR, 29 Mei (Malaysiaaktif) – Insiden bumbung rosak di Blok 94, Apartment Putra Ria yang diterbangkan angin susulan daripada kejadian hujan lebat dan angin ribut pada Sabtu lalu, memerlukan perbelanjaan sebanyak RM120,000 bagi menjalankan kerja-kerja baik pulih dalam waktu terdekat ini.

YBM melawat keluarga terjejas akibat bencana di PPS Pusat Komuniti Lembah Pantai
Menurut Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil, pihaknya telah mengenal pasti sebanyak lapan buah rumah serta lapan keluarga terjejas ekoran tragedi itu.
“Kerosakan yang berlaku agak serius memandangkan terdapat salah satu lif di blok tersebut mengalami kerosakan sehingga menyukarkan rutin harian penduduk dan saya akan berbincang dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur untuk menyegerakan kerja-kerja baik pulih tersebut,” katanya ketika ditemui selepas meninjau dan menghulurkan sumbangan kepada penduduk yang terjejas dengan kejadian tersebut.
Dalam pada itu, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi turut melawat enam keluarga dari Kampung Tradisi Rumah Mara, Pantai Dalam yang kini ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Pusat Komuniti Lembah Pantai ekoran kediaman mereka telah dihempap pokok tumbang tempoh hari.

Pemberian sumbangan kepada mangsa bencana
Menurut Mohd Shamsul Kamin, 53 mereka sekeluarga menzahirkan rasa syukur kerana pelbagai pihak telah tampil menyalurkan bantuan dan sumbangan kepada mereka sekeluarga termasuklah kerja-kerja pembaikan rumah.
Sementara itu, Fahmi juga menasihatkan orang awam agar sentiasa waspada dan peka dengan perubahan cuaca semasa dan melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya memerlukan bantuan kecemasan.
-AA-