Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurKelantan

Tanam Semula 1,000 Anak Pokok Bakau Usaha Pulihara Ekosistem

By 28 Mei 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Rosli Md Zin /Azmi Omar

BACHOK, 28 Mei (Malaysiaaktif) – Radicare (M) Sdn. Bhd. dengan kerjasama strategik bersama agensi-agensi kerajaan telah melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan menanam 1,000 anak pokok bakau bagi memulihara kelestarian alam sekitar serta mengelak berlakunya hakisan laut.

Ini merupakan inisiatif julung kalinya dianjurkan oleh Radicare dan akan diteruskan lagi di negeri Selangor, Terengganu, Pahang dan Wilayah Persekutuan.

Ucapan perasmian oleh Datuk Dr. Zaini.

Menurut Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) Datuk Dr. Zaini Hussin, kerjasama strategik ini seharusnya menjadi pemangkin kepada usaha pemuliharaan kawasan litupan hijau dan hutan untuk menambah baik ekosistem dan biodiversiti negara.

“Melalui kempen penanaman 100 juta pokok ini, sekecil-kecil usaha yang dilaksanakan akan memberi kesan kepada perubahan positif kepada ekosistem di mana setiap satu anak pokok yang ditanam adalah bukti dedikasi kita untuk memelihara keindahan alam sekitar,” katanya, di sini semalam.

Ketua Jajahan Bachok Haji Shamsul Abu Bakar pula, berkata inisiatif ini amat baik dalam usaha melestarikan alam sekitar seiring dengan daerah Bachok yang merupakan Bandar Pelancongan Islam.

Sesi taklimat dan demonstrasi penanaman pokok bakau.

“Antara inisiatif lain dalam menjaga ekosistem di negeri Kelantan adalah menanam pokok, amalan konsep hijau, pembersihan dan pengurusan sampah sarap dapat memberikan keselesaan kepada pelancong.

“Usaha ini juga diharap mampu dikembangkan ke seluruh peringkat jajahan di dalam negeri Kelantan,” katanya.

Inisiatif penanaman pokok bakau di Pantai Melawi ini adalah usaha sama di antara Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan, Majlis Daerah Bachok dan Pejabat Tanah dan Jajahan Bachok.

Sebanyak 1,000 anak pokok bakau telah disumbangkan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan bagi menjayakan inisiatif ini.

Radicare sangat menitikberatkan kepada pematuhan dan kepentingan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) bagi memupuk kemampanan jangka panjang.

-ZS-

Tinggalkan komen anda