Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurKelantan

Tokong Mek Simpan Sejarah Lebih Enam Abad 

By 23 Mei 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Norhayati Shamsu Anuar/Amirul Faisal Rastan (Gua Musang)

GUA MUSANG, 23 Mei (Malaysiaaktif) – Tokong Swee Nyet Keung (Tokong Mek) di Kampung Pulai yang terletak 15 kilometer dari Bandar Gua Musang dan berusia hampir 600 tahun, menyimpan pelbagai sejarah masyarakat Cina di negeri Kelantan.

Tokong ini dikatakan merupakan penempatan asal masyarakat Cina pertama yang menetap di negeri ini bermula pada tahun 1426.

Lukisan di dalam Tokong Mek yang dipercayai berusia 600 tahun.

Menurut Pengerusi Komuniti MADANI Kampung Pulai Yap Chan How, di dalam tokong ini terdapat sekeping gambar lukisan Tokong Mek (Kuan Yin) yang dibawa dari negara China bagi tujuan untuk memberi kuasa perlindungan dan jaminan keselamatan kepada penduduk setempat.

“Tokong Mek ini mempunyai bahan bersejarah yang dikatakan berasal daripada Dinasti Ming dan untuk menjaga keaslian serta keselamatan barangan seperti meriam purba, keris Cina dan gambar lukisan tokong, ia dijaga dan disimpan dengan rapi.

Krew Malaysia Aktif (kanan) bersama pelancong dari Kuala Lumpur yang berkunjung ke Tokong Mek.

“Lembaga Warisan Negeri Kelantan juga telah mengiktiraf tokong ini sebagai tempat bersejarah serta menjadi tempat tumpuan bagi pelancongan,” katanya kelmarin.

Seorang penduduk Chan Kin Lan, 62, berharap agar kerajaan menyalurkan peruntukan bagi memaju dan menceriakan lagi kawasan tersebut untuk tarikan pelancong luar negeri.

“Dalam tempoh setahun, terdapat kira-kira 2,000 pelancong hadir melawat seperti dari Perancis, Jepun, Taiwan dan paling banyak dari Singapura selain pelancong tempatan,” katanya.

-ZS-

Tinggalkan komen anda