
Laporan/foto: Noorsiah Mahmud/Sitti Jakiyah Abd. Rahim (Sabah)
PENAMPANG, 30 Mei (Malaysiaaktif) – Merangkul gelaran Unduk Ngadau Negeri Sabah merupakan satu tanggungjawab yang besar dan penting bagi seorang anak jati daripada komuniti Kadazan Dusun Murut Rungus (KDMR) di negeri ini.
Bukan sekadar cantik paras rupa, seorang unduk ngadau atau ratu cantik sempena Pesta Keamaatan perlu menguasai ilmu, kemahiran dan tradisi turun temurun masyarakat KDMR agar kekayaan serta keunikan budayanya tak lapuk di hujan, tak lekang di panas dalam arus pemodenan.

Carol menerima sijil penghargaan daripada Penolong Pengarah Bahagian Media Siber, Jabatan Penerangan Sabah Nuzuluddin Abdul Razak.
Pemenang Unduk Ngadau Negeri Sabah 2023 Carol Abbey Gail, 25, percaya seorang unduk ngadau punya tugas dan tanggungjawab untuk menjaga nama baik diri sendiri juga sebagai duta KDMR dan negeri Sabah sejajar dengan gelaran yang diberikan.
“Kita boleh beri contoh yang baik contohnya melalui pembawaan diri sebagai unduk ngadau iaitu menerusi tugasan dan amanah yang diberikan perlu dilaksanakan dengan penuh komitmen.
“Apabila seseorang itu dinobatkan sebagai unduk ngadau secara tidak langsung dia juga akan menjadi ‘role model’ atau pempengaruh yang akan menjadi inspirasi kepada belia dan mendekatkan diri kepada mereka antaranya melalui program-program kebudayaan,” katanya semasa program Influencer@JaPen Sabah di sini pada Selasa.
Wanita berasal daripada Papar itu dalam masa yang sama berpesan kepada bakal pemenang Unduk Ngadau 2024 untuk sentiasa membuat persiapan secukupnya dari segi fizikal dan paling utama persediaan mental yang kuat.
“Dari segi persediaan dari segi ‘Soalan dan Jawaban’ mereka perlu fokus pada pengucapan awam dan perlulah membuat latihan bercakap di hadapan cermin dan latihan bersoal jawab khasnya dalam bahasa ibunda.

Carol ketika program Influencer@JaPen yang dihoskan Pegawai Penerangan Sunday Grace Justimus.
“Sebelum ini saya juga membeli kamus bahasa ibunda untuk membantu saya dalam berkomunikasai selain itu mestilah selalu bercakap dengan orang yang lebih tua daripada kita sebab mereka lebih banyak tahu tentang adat dan tradisi kita,” katanya.
Sebagai makluman, Carol mula menyertai pertandingan unduk ngadau pada tahun 2017, 2018 dan 2019 seterusnya berehat untuk menyambung pelajaran di Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan menyertai semula pada 2023 dan seterusnya menjuarai pertandingan tersebut.
Mempunyai kebolehan bermain alat kulintangan, Carol berhasrat untuk berkongsi dan kemahiran menggunakan alat muzik tradisional itu kepada golongan belia sebagai satu usaha untuk memelihara warisan tersebut untuk generasi akan datang
Acara kemuncak Pesta Kaamatan sedang berlangsung bermula hari ini sehingga esok di Hongkod Koisaan Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA) Penampang yang akan dihadiri oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
-ZS-