
Laporan/foto: Norlia Mili (Sarawak)
KUCHING, 17 Jun (Malaysiaaktif) – Program ‘Autism Empowerment Weekend 2024’ anjuran Pusat Terapi Let’z Play merupakan platform untuk ibu bapa mendapatkan maklumat terbaru tentang perkara-perkara dan pihak-pihak yang boleh membantu keluarga yang mempunyai anak autisme.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri ketika merasmikan tersebut, di sini kelmarin, berkata pengetahuan dan kecekapan ibu bapa guru-guru dan komuniti dalam menangani autisme masih perlu dipertingkatkan.

Pengarah Pusat Terapi Let’z Play, Erdy Izwan Sohardi.
“Usaha bagi memperkasakan bakat serta potensi mereka juga perlu dilakukan secara berterusan dengan sokongan semua pihak.
“Jadi ambillah peluang ini, mengunjungi dan turut serta dalam aktiviti yang disediakan dalam program ini agar ibu bapa dan semua yang hadir mendapat manfaatnya,” katanya.

Sharif Danial Al Qadri, 4, ditemani ibunya, sedang mendengar penerangan tentang cara menggosok gigi daripada juruterapi Jabatan Kesihatan Pergigian Kuching.
Sementara itu, Pengarah Pusat Terapi Let’z Play, Erdy Izwan Sohardi, berkata program tersebut dianjurkan untuk memberi impak dalam memperkasakan komuniti autisme dengan mewujudkan komuniti dalam kalangan pihak agensi kerajaan seperti institut pendidikan, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan pergigian serta dibantu oleh pertubuhan bukan kerajaan, ibu bapa dan swasta.
“Ketahuilah anda semua tidak sendirian, banyak pihak akan membantu dalam menangani autisme dalam kalangan ahli keluarga,” katanya.
Sebanyak 800 penyertaan telah diterima untuk program dua hari itu dengan pelbagai ceramah dan pameran telah dilaksanakan untuk memperkasakan pengetahuan komuniti autisme.
-ZS-