
Laporan/foto: Syamimi Aaizag Ibrahim/Hafizullah Abdul Aziz
PENDANG, 24 Jun (Malaysiaaktif) – Pelaksanaan penyasaran subsidi diesel dan pengapungan harga bahan api bertujuan mengekang ketirisan, penyeludupan dan penyelewengan diesel yang berlaku sejak sekian lama.
Kerajaan baru-baru ini turut mengumumkan bantuan subsidi bersasar kepada mereka yang layak melalui Program BUDI MADANI bagi menangani kenaikan harga diesel tersebut.
“Langkah kerajaan menyediakan bantuan subsidi bersasar melalui Program BUDI MADANI dapat membantu meringankan beban kenaikan harga minyak walaupun tidak mendapat subsidi sepenuhnya seperti dahulu,” katanya Mohamad Rasyidi, 44, ketika ditemui krew Malaysia Aktif, di sini semalam berkaitan pengumuman dan inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan melibatkan subsidi diesel yang sedang hangat diperkatakan.

Peniaga menunjukkan risalah berkaitan penyasaran subsidi bahan api diesel
yang diedarkan oleh Pejabat Penerangan Daerah Pendang.
Pemilik kenderaan pacuan empat roda itu turut memberitahu bahawa kenaikan harga diesel yang berlaku akibat pengapungan harga dan penyasaran subsidi ini sedikit sebanyak memberi kesan kepada pengguna terutama yang mempunyai lebih daripada sebuah kenderaan yang menggunakan diesel.
Seorang peniaga yang hanya ingin dikenali sebagai Din, 35, menyambut baik usaha kerajaan dengan memberikan subsidi diesel secara bersasar.
“Saya ingin membuat permohonan tetapi tidak tahu bagaimana caranya dan kawasan rumah juga tidak mempunyai jaringan Internet yang baik,” ujarnya.
-ZS-