Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurKelantan

Cabaran Bukit Panau 2024

By 2 Jun 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Suhaidi Mat Jusoh (Tanah Merah)

TANAH MERAH, 2 Jun (Malaysiaaktif) – Bukit Panau adalah salah satu tempat bersejarah di daerah ini dan menjadi lokasi kunjungan untuk beriadah serta aktiviti pendakian.

Dengan ketinggian 396 meter, Bukit Panau sentiasa menjadi tarikan orang ramai khususnya pendaki untuk melakukan aktiviti riadah.

Peserta Cabaran Bukit Panau 2024 dilepaskan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan Mukim Paloh (JKKKP) Azizi Ibrahim

Justeru, Komuniti Madani Bukit Gading dengan kerjasama Jabatan Penerangan Daerah Tanah Merah telah mengadakan Program Cabaran Bukit Panau 2024 yang bertujuan untuk menguji tahap kecergasan para peserta dan dalam masa sama menikmati keindahan alam semula jadi.

Menurut pengerusi program Dr.Sayudi Che Hussin, 42, cabaran Bukit Panau 2024 yang diadakan mendapat sambutan luar biasa dengan penyertaan melebihi sasaran iaitu seramai 200 orang dari pelbagai kategori.

“Saya tidak menyangka program ini akan mendapat sambutan menggalakkan dari peserta yang datang dari dalam dan luar daerah,” katanya yang juga Pengerusi Komuniti Madani Bukit Gading, Tanah Merah.

Tambahnya, selain beriadah, program ini juga dapat memberi peluang kepada peserta untuk menikmati keindahan panorama dari Bukit Panau.

Juara bagi kategori belia dari Tanah Merah Running Club, Mohd Fakrulrazi Nasir, 20, berkata, beliau bersama beberapa ahli kelab berlari mendaki bukit dan mengambil masa antara 10 hingga 15 minit untuk sampai ke puncak.

Mohd Fakrulrazi Nasir menerima hadiah dari Mat Wi A. Rahman

Beliau yang juga pemegang rekod 400meter kebangsaan Majlis Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) mengakui trek di Bukit Panau sedikit mencabar, namun beliau gembira kerana dapat menjuarai kategori yang dipertandingkan.

Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Penolong Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Kelantan, En Mat Wi Abd Rahman. Turut hadir Pegawai Penerangan Daerah Tanah Merah, En Mohd Sanusi Ariffin.

-AA-

Tinggalkan komen anda