Laporan/foto: Maznah Ngah
KEMAMAN, 27 Jun (Malaysiaaktif) – Program Forum Informatif : Taklimat Isu-isu Semasa bertujuan untuk membuka minda golongan belia menolak ekstremisme yang menjadi ancaman kepada negara telah diadakan di Dewan Sri Suria, Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kemasik, di sini kelmarin.
Program anjuran Jabatan Penerangan (JaPen) Negeri Terengganu dengan kerjasama Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Terengganu dan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) ini disertai 300 peserta terdiri daripada pelajar IKBN dan kakitangan awam pelbagai jabatan dan agensi di negeri ini.
Penolong Pengarah JaPen Terengganu Saharrudin Mohamed dalam ucapannya, berkata gerakan-gerakan berbentuk ekstrim dengan ideologi berasaskan perkauman dan keagamaan ini mengancam keselamatan negara dan Malaysia tidak terkecuali berhadapan dengan ancaman ini.
“Realiti baharu dunia maklumat hari ini menyaksikan berita palsu tersebar lebih pantas sekali gus cabaran maklumat palsu, doktrin atau ideologi ekstrem kini jauh lebih mudah digerakkan sebagai satu propaganda yang cukup terancang dan tersasar,” katanya.
Pelajar IKBN Aliya Rafiqa Zainuddin, 22, berkata forum pada hari ini memberi kesedaran kepada golongan belia sepertinya tentang kepentingan menjaga keamanan sesebuah negara serta keselamatan negara daripada gerakan berbentuk ekstrim yang boleh memecah belah perpaduan dan keharmonian negara.
“Sebagai pelajar saya berasa amat bertuah tinggal di Malaysia kerana negara ini aman dan makmur walaupun rakyat di negara ini terdiri daripada pelbagai latar belakang budaya, agama dan bangsa.
“Selain itu, maklumat yang disampaikan pada hari ini juga memberi kefahaman yang jelas kepada saya tentang fahaman ekstremisme berdasarkan penerangan terperinci daripada para penceramah.
“Program pada hari ini juga menjadi platform yang berkesan bagi meningkatkan penyaluran maklumat yang sahih dan tepat terutamanya kepada golongan belia,” katanya.
Kakitangan IKBN Anis Sofia Abdullah, 24, berharap agar program perkongsian ilmu seperti ini dapat diadakan lagi pada masa akan datang.
Forum informatif bertemakan Malaysia Menolak Ekstremisme disampaikan oleh Penolong Pengarah MKN Negeri Terengganu Nurul Laila Suhaimi dan Pegawai Cawangan Agama dan Kaunseling Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman Ustaz Mohd Johari Othman.
-ZS-