
Laporan/foto: Amir Rithauddin Roslan (Hulu Selangor)
KUALA KUBU BHARU, 20 Jun (Malaysiaaktif) – Penurunan harga runcit telur ayam gred A, B dan C sebanyak tiga sen sebiji memberi kelegaan kepada pengguna dan golongan peniaga terutamanya yang melakukan perniagaan kecil-kecilan.
Menurut Ketua Cawangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Kubu Bharu Mohamad Fazle Mohamed Sahlan, penguatkuasaan terhadap paparan harga baharu ini harus dipatuhi serta-merta di semua premis yang menjual telur ayam termasuk pemborong bagi memastikan inisiatif ini dapat dinikmati oleh semua masyarakat.
“Pihak KPDN akan bertindak tegas terhadap mana-mana premis atau peniaga yang cuba mengambil kesempatan dan gagal mematuhi Akta Kawalan Harga Dan Anti Pencatutan 2011 dengan menjual melebihi harga maksimum atau tidak memaparkan tanda harga.
“Mereka yang disabitkan kesalahan boleh didenda hingga RM100,000.00 atau tiga bulan penjara atau kompaun RM50,000.00 bagi pesalah individu dan denda RM500,000.00 atau kompaun sebanyak RM250,000.00 bagi pesalah syarikat,” katanya.
Tambah beliau, bermula semalam pihak KPDN Cawangan Kuala Kubu Bharu akan melaksanakan pemantauan secara berkala di seluruh daerah secara rambang bagi memastikan pelaksanaan terhadap paparan harga baharu telur ayam dipatuhi dan orang ramai boleh memberikan kerjasama dengan melaporkan kepada pihak KPDN jika mendapati harga telur yang dijual tidak mengikut harga yang ketetapan oleh kerajaan”, katanya semasa operasi pemantauan harga telur ayam, di sini semalam.
Berdasarkan pemantauan oleh pihak KPDN Cawangan Kuala Kubu Bharu bersama Pejabat Penerangan Daerah Hulu Selangor di premis-premis menjual telur ayam sekitar Kuala Kubu Bharu dan Batang Kali, rata-rata peniaga dan pemborong memaparkan senarai harga telur ayam gred A, B dan C mengikut harga baharu yang ditetapkan kerajaan iaitu RM12.60 sepapan bagi telur gred A, RM12 bagi gred B dan RM11.40 bagi gred C.
-ZS-