
Laporan/foto: Armizie Hanazifs Ahmad/Hafizullah Abdul Aziz (Pendang)
PENDANG, 28 Jun (Malaysiaaktif) – Info On Wheels (IOW) atau hebahan bergerak merupakan program turun padang dan sesi libat urus antara Jabatan Penerangan bersama masyarakat setempat bagi meningkatkan kefahaman dan kesedaran rakyat tentang sesuatu dasar, inisiatif atau program yang dilaksanakan oleh kerajaan.
Pejabat Penerangan Daerah Pendang telah mengadakan program IOW mengenai Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran bertempat di Kampung Paya Mengkuang, di sini semalam dengan menyasarkan masyarakat di kawasan sekitar.
Salah seorang peserta program Rokiah Rejab, 53, berkata program hebahan ini dapat membantu menyampaikan informasi berkaitan program dan inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan serta kempen-kempen kesedaran kepada msyarakat.
“Topik hebahan yang dibawa ke sini pada hari ini dapat memberi manfaat dan kesedaran kepada orang ramai supaya sentiasa berjaga-jaga agar tidak menjadi mangsa atau terlibat dengan kegiatan tidak bermoral ini,” ujarnya.
Program yang mendapat kerjasama dan penglibatan warga Komuniti MADANI Kampung KEDA Asam Jawa, Komuniti Kampung Paya Mengkuang dan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Kampung Paya Mengkuang ini dimulai dengan perkongsian informasi, edaran bahan penerbitan dan kajian keberkesanan program IOW.
-ZS-