
Laporan/foto: Norlia Mili (Sarawak)
KUCHING, 12 Jun (Malaysiaaktif) – Tugas sukarelawan seperti menyertai Pasukan Bomba Sukarela (PBS) mampu memberikan kepuasan tidak terhingga kepada seseorang individu walaupun tiada upah mahupun sebarang ganjaran diterima.
Pengerusi PBS Kampung Bako Indah Noh Yahim, 54, berkata mereka tetap menjalankan tugas sukarelawan tersebut walaupun tiada upah mahupun sebarang ganjaran diterima kerana kepuasan dalam setiap operasi yang dijalankan adalah apabila menerima ucapan terima kasih daripada mangsa atau mereka yang terjejas.

Nor Hisham meletakkan plak di ruang pejabat Bomba Kampung Bako Indah.
Menurut Noh Yamin lagi, mereka juga turut memberi khidmat masyarakat seperti menangkap ular dan memusnahkan sarang tebuan.
“Di samping memberi bantuan awal dalam kejadian kebakaran, pihak kami juga turut memberikan khidmat masyarakat seperti menangkap ular dan memusnahkan sarang tebuan,” ujarnya.
Kebiasaannya, PBS banyak ditubuhkan di kawasan-kawasan yang agak terpencil bagi mengambil tindakan awal jika berlakunya kebakaran sebelum ketibaan Pasukan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Pengerusi PBS Kampung Bako Indah Noh Yahim bergambar bersama jentera yang dimiliki Persatuan Bomba Sukarela Kampung Bako Indah.
Untuk rekod, PBS Kampung Bako Indah telah berusia hampir 16 tahun dan telah ditubuhkan pada 2008 dan kini telah berjaya memiliki beberapa asset seperti bot penyelamat, jentera penyelamat dan stesen bomba mini.
Ketua Pengarah Bomba dan Penyelamat Malaysia Datuk Nor Hisham Mohammad semasa Majlis Sesi Libat Urus Bersama PBS Kampung Bako Indah, di sini semalam, berkata sokongan kuat yang diterima daripada pelbagai pihak seperti pihak swasta, Ahli Parlimen, dan Ahli Dewan Undangan Negeri telah membantu dalam mewujudkan pasukan sukarelawan seperti PBS.
“Pemain utama dalam PBS adalah kualiti kepimpinan, kepimpinan pengerusi dan pasukan yang membolehkan pasukan berkembang maju dan memberi contoh kepada yang lain untuk sama-sama bergerak agar terus berada di tahap yang tinggi,” katanya.
-ZS-