Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

Jana Pendapatan, Orang Kampung Belajar Buat Roti Canai Secara Percuma

By 2 jam yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Rosnaniwati Rasidi (Kota Belud)

KOTA BELUD, 23 Jun (Malaysiaktif) – Pernah mendapat pengiktirafan antarabangsa sebagai makanan kedua terbaik di dunia, roti canai, berpotensi membuka peluang kepada masyarakat setempat terutama di perkampungan untuk menceburi bidang perniagaan.

Rainom (kiri) tekun memerhati teknik membuat roti canai daripada tenaga pengajar

Bagi mendukung usaha kerajaan memangkin ekonomi rakyat, Program JIWA Komuniti MADANI Kampung Lebak Engad, Kota Belud menganjurkan program mengadun dan menebar roti canai secara percuma bersama penduduk kampung.

Ketua Komuniti MADANI Kampung Lebak Engad, Hasmeddy Ejun berkata, program seperti ini mendapat sambutan luar biasa daripada penduduk di samping membantu mereka menjana ekonomi sebagai pengusaha Industri Kecil dan Sederhana (IKS).

“Program kali ini melibatkan tenaga pengajar profesional untuk mengajar secara percuma sempena Program JIWA Komuniti MADANI yang diselia Pejabat Penerangan Daerah Kota Belud.

“Program dengan kerjasama agensi lain seperti Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) ini juga dilihat mampu menjana ekonomi kecil-kecilan mereka selain sebagai usaha menambah mata pencarian,” ujarnya ketika ditemui semasa Program JIWA Komuniti MADANI Kampung Lebak Engad di Kota Belud, hari ini.

Sementara itu, salah seorang peserta program Rainom Sibil, 50, berkata program tersebut membantu peniaga kuih sepertinya untuk mencuba produk baharu di samping menambah pendapatan sebagai ketua keluarga.

Peserta yang hadir tidak melepaskan peluang merakam video dan bertanya pelbagai soalan berkaitan pembuatan roti canai

“Saya hanya berniaga kuih secara kecil-kecilan, kalau belajar kursus di tempat lain dikenakan bayaran dan lokasi agak jauh, jadi saya memang menantikan latihan sebegini di kampung saya untuk saya belajar sebaiknya dan akan menjual roti canai suatu hati nanti,” katanya.

Untuk makluman, program bertemakan penjanaan ekonomi penduduk kampung tersebut dihadiri lebih 80 peserta dan turut dimeriahkan dengan kehadiran Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Mustapha Sakmud.

-AA-

Tinggalkan komen anda